Ahad, 21 September 2014

Laporan Kaki Bangku: Prebiu Manchester City vs Chelsea

Hari ini adalah hari penentuan biru manakah yang lebih sejati; biru langit Manchester City atau biru nila Chelsea? Manchester City akan menerima kunjungan pencabar kejuaraan Chelsea sebagai penutup rangkaian 3 perlawanan maut dalam tempoh 8 hari yang ditempuh City (Arsenal-Bayern-Chelsea). 2 daripada perlawanan tersebut City kurang bernasib baik gagal mendapat sebarang kemenangan. Bagaimanakah nasib The Citizens pada hari ini? Ayuh kita sama-sama memberi sokongan padu.

Siapakah biru sejati?

Tidak perlu ditekankan lagi betapa pentingnya City memenangi pertandingan di bahagian midfield hari ini. Pasukan Chelsea mempunyai seleksi pemain tengah terkuat di dalam Liga Perdana  Inggeris dan mereka perlu dihalang daripada membuat umpanan kepada Diego Costa. Dalam perlawanan menentang Arsenal dan Bayern Munich, Manchester City gagal menguasai permainan di tengah padang. Harapannya Pellegrini sudah menemui formula untuk menyelesaikan masalah ini.

Sumber: WhoScored.com
Setelah menurunkan seorang sahaja penyerang dalam 2 perlawanan sebelum ini (atas faktor krisis penyerang) City berkemungkinan akan menggandingkan Dzeko dan Aguero di bahagian hadapan. Fernandinho yang cemerlang semasa perlawanan Bayern akan bergandingan dengan Toure di bahagian tengah. Seleksi lain adalah seperti kebiasaan. Namun begitu seleksi pemain boleh dipengaruhi beberapa faktor. City masih lagi hanya mempunyai 2 penyerang cergas maka menurunkan kedua-dua penyerang boleh membawa risiko. Yaya Toure dikritik hebat atas prestasi hambar semasa perlawanan Bayern tempohari. Keengganan beliau melakukan kerja-kerja defensive memberi tekanan kepada pertahanan City dan menyukarkan City menguasai permainan. Atas faktor-faktor ini Pelligrini boleh menurunkan seorang penyerang dan membawa Toure naik lebih ke bahagian atas dan menambah seorang lagi pemain tengah. Bahagian pertahanan juga boleh diperkuatkan jika Mangala sudah bersedia untuk bermain. Lama dah kempunan nak tengok tembok depan tiang gol Joe Hart. Prediksi dalam hati: City menang 1-0.

Seleksi Bulan Biru
Fakta perlawanan:
1. Manchester City memenangi 6 daripada 7 perlawanan menentang Chelsea di laman sendiri.
2. Kali terakhir mereka bertemu di Etihad Chelsea menang  0-1 hasil jaringan Branislav Ivanovic.
3. Chelsea memenangi 5 perlawanan di tempat lawan terakhir mereka.
4. Jika Manchester City gagal menang dalam perlawanan ini bermakna mereka tidak mencatat kemenangan dalam 4 perlawanan kompetitif berturut-turut.

Superbia in proelio.

Rujukan: WhoScored.com





















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.