Isnin, 17 November 2014

Jurnal Peminat - Bergambar Dengan 2 Piala Manchester City

Senangnya dalam hati dapat bergambar bersama trofi Liga Perdana Inggeris dan Capital One Cup yang dimenangi Manchester City. Awalnya tiada rancangan pun hendak pergi ke acara tersebut kerana sibuk dengan urusan keluarga. Memang sudah rezeki agaknya bila isteri tiba-tiba mengajak untuk pergi ke Sunway Pyramid. Tiba di sana ternampaklah pentas acara The Manchester City FC Trophy Tour yang dianjur bersama syarikat Dashing. Jika ingin bergambar bersama 2 trofi tersebut peminat perlu membeli barangan Dashing dengan pembelian minima sebanyak RM20 (untuk 1 tiket pas). Maka keluarlah duit dari sang dompet demi mendapatkan 3 keping tiket.


Banyak juga acara sampingan yang disediakan oleh pihak penganjur seperti foosball dan permainan video FIFA dan PES. Oleh kerana acara belum bermula maka saya dan keluarga pergilah membeli belah dahulu di kawasan sekitar. Sedang sibuk membelek barang, ternampaklah kelibat 2 orang mat saleh membawa 2 beg besar. Nampak macam penting sangat barangan yang dibawa. Berasaskan ilmu taakulan rasa-rasanya itulah 2 trofi yang dibawa untuk acara bergambar bersama. Lalu bermulalah aksi ekor-mengekor dan kejar-mengejar.


Tepat sekali jangkaan yang dibuat. Terpampanglah di depan mata 2 piala yang menjadi milik Manchester City pada musim lepas. Peluang untuk menunjukkan rasa bangga sebagai peminat Manchester City digunakan habis-habisan. Di samping dapat bergambar bersama piala, peminat juga berpeluang terpilih untuk menonton perlawanan BPL Manchester City dengan semua perbelanjaan ditanggung. Sememangnya hari itu hari yang sangat menggembirakan buat seorang Citizen.







Superbia in Proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.