Selasa, 25 November 2014

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Manchester City (2) - Swansea (1)

Walaupun menangnya kecil tapi ertinya besar sekali buat Manchester City. Setelah ketinggalan kepada gol awal Swansea, City kemudian bangkit mempamerkan permainan penuh semangat dan berjaya menjaringkan 2 gol sekaligus mengenggam 3 mata berharga. Semangat seperti inilah yang mahu ditonton para peminat saban perlawanan.


Pada musim-musim lepas Stadium Etihad merupakan kubu kebal City tetapi musim ini kekebalan itu sedikit terancam. Daripada 9 perlawanan di Etihad musim ini City hanya menang 4, seri 3 dan kalah 2 perlawanan. Mereka juga hanya mendapat 2 cleansheet sepanjang 9 perlawanan tersebut. Pertahanan City berada di bawah tekanan kritikan banyak pihak sejak kebelakangan ini bila mereka bolos 8 gol dalam 5 perlawanan.

Kritikan itu seperti berasas apabila selepas 9 minit Nathan Dyer berjaya membuat hantaran kepada Wilfried Bony yang mudah menjaringkan gol pembukaan. Biarpun ramai pemain City mengelilingi Dyer namun kesemuanya menunggu sahaja dan bertahan secara zonal. Sambil mereka menghurung Dyer tiada sesiapa berjaya membaca larian Bony ke arah gol untuk menerkam hantaran bijak Dyer. Ini adalah gol pertama Swansea di Etihad dan juga gol pertama Swansea di laman City semenjak 1983.



Episod mimpi ngeri City nampak seperti berterusan dengan gol itu. Tetapi kali ini reaksi City terhadap gol Swansea berbeza. Jika sebelum ini City meneruskan permainan dengan pendekatan yang sama bila ketinggalan awal namun semalam City terus menunjukkan kesegeraan dalam permainan mereka. Mereka  mula menggandakan tempo permainan dan merebut bola dengan lebih agresif.

Barisan pertahanan Swansea tampak tertekan dengan serangan bertubi-tubi Manchester City yang hanya menunggu masa untuk mendapatkan jaringan penyamaan. Gol penyamaan itu tiba 10 minit selepas jaringan Swansea. Gerakan hantaran Nasri-Navas-Toure di sayap kanan City berjaya meloloskan Navas untuk membuat hantaran lintang yang disudahkan Jovetic di dalam kotak penalti. Gol itu merupakan gol pertama Jovetic semenjak kemenangan ke atas Liverpool pada bulan Ogos.




Tidak puas dengan gol penyamaan City meneruskan permainan tempo tinggi dan tekanan ke arah gawang Swansea. Aguero dan Jovetic masing-masing mendapat beberapa peluang yang akhirnya terlepas ataupun digagalkan penjaga gol Swansea, Fabianski. Peluang terbaik untuk gol kedua City di separuh masa pertama adalah daripada rembatan padu maut Clichy yang merembat bola bebas dari luar kotak penalti. Bola deras menuju ke bucu atas gol Swansea tetapi Fabianski berjaya menguis sedikit bola yang kemudiannya terkena tiang dan keluar dari kawasan bahaya.


Fabianski terus menjadi wira Swansea di separuh masa kedua menyelamat dan menampan bola percubaan Jovetic dan Toure. Zabaleta juga sekali-sekala mengancam gawang Swansea tetapi percubaan beliau semuanya tidak tepat ke arah gol. Memang wajarlah beliau bermain di posisi pertahanan.

Gol kedua City terjadi di minit ke-62 yang bermula daripada tendangan penjuru City. Swansea berjaya mengeluarkan bola dari kotak penalti mereka tetapi bola tidak pergi jauh dan sampai ke kaki Demichelis. Demichelis kemudian berjaya mencari Fernandinho yang membuat hantaran tumit belakang bijak bila melihat Toure sudah mula membuat larian ke arah gol. Larian Toure yang ketika itu bertukar kepada mod kereta kebal memang sudah tidak terhalang dan beliau meledakkan tendangan di celah kangkang Fabianski untuk gol kemenangan City.



City terus mencari gol ketiga untuk mematikan perlawanan tetapi Fabianski menjadi penghalang. Peluang terbaik hadir kepada Navas di penghujung 10 minit apabila Aguero berjaya mencuri bola di kawasan Swansea dan melepaskan bola kepada Navas di sebelah kanan. Navas membuat percubaan gol namun Fabianski berjaya menahan bola menggunakan kaki beliau.

Agak mendebarkan buat Manchester City di hujung-hujung babak permainan apabila Swansea mendapat 2 peluang keemasan menjaringkan gol. Yang pertama bila Gomis terlepas daripada kawalan pertahanan City dan berhadapan dengan Joe Hart tetapi percubaannya tersasar ke tepi tiang. Yang keduanya pula bila Swansea mendapat tendangan bebas di pinggir kotak penalti City. Tendangan Jonjo Shelvey tertampan dinding pemain City dan bola melencong sipi ke tepi tiang.


Akhirnya kemenangan berpihak kepada City dan kelegaan jelas tersebar ke seluruh atmosfera Manchester City di kalangan  pemain dan juga para penyokong.

Fakta menarik perlawanan:
1. Kali terakhir pasukan Swansea menang di laman Manchester City adalah pada tahun 1951.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.