Manchester City nampaknya gagal dalam misi hidup atau mati mereka tempohari. Kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini masih mengelak mereka. Harapan City mara ke pusingan seterusnya masih belum mati tapi sudah dalam keadaan nazak, nyawa-nyawa ikan, atau roh sudah sampai di kerongkong. Secara Matematik Modennya Manchester City masih boleh layak ke pusingan kedua dengan 8 mata. Tapi jika dirujuk pada Matematik Tambahan bab kebarangkalian agak sukar buat City.
Kelebihan semuanya memihak kepada City sebelum wisel permulaan bagi perlawanan ini. Mereka bermain di Stadium Etihad, tiada seorang pun penyokong CSKA dibenarkan dalam perlawanan ini dan mereka baru sahaja memenangi perlawanan derbi Manchester pada hujung minggu sebelumnya. Tetapi malangnya pasukan City seperti gugup pada hari tu dan mempamerkan aksi lemah dan kurang berdisiplin. Bukan sahaja kurang disiplin dari segi taktikal malahan juga dari segi moral apabila City menghabiskan permainan dengan 9 orang pemain. Fernandinho dan Yaya Toure dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Langkah kiri City bermula seawal minit ke-2. CSKA mendapat tendangan bebas di sebelah kiri gol City dan Seydou Doumbia yang semenangnya menjadi duri dalam daging semenjak perlawanan di Moscow sekali lagi menghukum City dengan tandukan menewaskan Hart. Yaya Toure yang sepatutnya menjaga Doumbia terleka dan penyerang itu bebas membuat tandukan.
City yang cuba tidak panik meneruskan permainan dengan strategi posesi mereka. Tekanan daripada mereka berhasil memaksa CSKA membuat faul di pinggir kotak penalti. Toure bangkit menebus kesilapan awal beliau dan mengambil sepakan bebas yang terus menewaskan Akinfeev.
Gol itu yang sepatutnya menjadi pemangkin kebangkitan City tetapi itu tidak menjadi realiti. Permainan City serba-serbi tidak menjadi. Banyak hantaran mereka tidak kesampaian. Fernando dan Toure seperti tiada koordinasi di bahagian tengah dan mendedahkan barisan pertahanan kepada ancaman. Barisan pertahanan juga kelihatan kurang kesefahaman dan kurang selesa menangani ancaman Ahmed Musa dan Seydou Doumbia lebih-lebih lagi Clichy. Manchester City memang gemar bermain dengan garisan pertahanan yang tinggi tetapi Pellegrini mungkin perlu menilai semula taktik itu apabila pihak lawan menggunakan taktik kaunter dan mempunyai 2 penyerang pantas seperti CSKA.
Satu lagi kelemahan yang semakin jelas terdedah bagi City musim ini ialah kesukaran menembusi benteng pihak lawan yang bermain dengan garisan pertahanan yang rendah. Biarpun memiliki posesi pasukan City sukar memainkan bola untuk mendapatkan percubaan jelas ke arah gol. Mungkin kurangnya kreativiti kerana ketiadaan David Silva. Jesus Navas terlalu satu dimensi dan mudah dibaca. Jovetic pula banyak membuat larian mencari ruang tetapi sering terlihat rakan sepasukan tidak dapat membaca apa yang mahu dibuat oleh beliau.
Kegugupan barisan pertahanan City dihukum pada minit ke-35. Clichy kelihatan terlalu cemas dalam mengeluarkan bola dari kawasan City walaupun tiada tekanan daripada pihak lawan. Hasilnya tendangan beliau terlalu lemah dan jatuh kepada Natcho yang melorong bola kepada Doumbia untuk gol kedua CSKA hari itu.
Di separuh masa kedua City semakin terdesak lalu memasukkan Nasri dan Fernandinho tetapi keterdesakan mereka membawa padah apabila Fernandinho dan Yaya Toure diarahkan keluar padang dalam sela masa 10 minit di antara mereka. Frustasi jelas menguasai pemain City dan mereka semakin hilang fokus. Di babak-babak akhir perlawanan CSKA lebih selesa bertahan di kawasan sendiri dan City dapat membuka beberapa peluang tapi tidak berhasil.
Jelas City kini memerlukan keajaiban untuk mara. Bukan setakat itu, malah mungkin memerlukan ehsan dari pasukan Bayern. Harap-harap Bayern (yang sudah layak) tidak bermain serius semasa datang ke Manchester 25 November nanti.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
p/s: lepas tengok game live bawa kereta dari Kemaman ke KL dengan hati gundah gelana.