Sesungguhnya Manchester itu biru dan masih biru. Derbi Manchester tidak pernah gagal menghasilkan atmosfera penuh drama dan kontroversi dalam perlawanan mereka. Kedua-dua pasukan mempertontonkan permainan berbalas serangan namun akhirnya hak berlagak di Manchester kekal di tangan City.
City seperti bermula dengan langkah kiri. Bek kiri yang sepatutnya diisi oleh Aleksandar Kolarov terpaksa ditukar di saat akhir. Kolarov tercedera ketika sesi memanaskan badan dan tempat beliau digantikan oleh Clichy. Nampak seperti City kehilangan satu sumber serangan (dari kiri) tapi Clichy berjaya melupakan prestasi West Ham beliau dan mempamerkan antara permainan terbaik beliau musim ini. Beliau berjaya mengekang Di Maria di bahagian sayap kanan United (memaksa Di Maria lebih banyak membuat larian ke tengah padang) dan juga melakukan bantuan gol untuk Aguero.
Secara keseluruhan Manchester City berjaya memantapkan permainan mereka selepas tewas kepada West Ham dan Newcastle. Pergerakan mereka lebih laju, lebih berani membuat hantaran ke depan dan keinginan menguasai bola ditunjukkan dalam perlawanan semalam. Ini juga mungkin dibantu dengan pemilihan Aguero dan Jovetic di bahagian serangan di mana pergerakan mereka lebih dinamik.
Kedua-dua pasukan Manchester menunjukkan permainan bersemangat dari minit pertama. United mendapat peluang pertama melalui Januzaj tapi tendangannya tersasar dari tiang. Datang minit ke-21 giliran City pula menguji De Gea dalam sela masa 2 minit. Peluang pertama jatuh kepada Navas yang membuat larian dari tengah mendapat umpanan cantik Aguero tapi percubaan beliau mudah ditampan De Gea. Kemudian Fernando berjaya melepaskan diri di bahagian kiri dan membuat hantaran kepada Aguero yang menanti di dalam kotak penalti. De Gea membuat tindakan berani untuk keluar dan berlaga dengan Aguero dalam proses menyelamatkan bola.
Drama derbi yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba di minit ke-39. Chris Smalling yang lebih awal menerima kad kuning kerana menghadang tendangan Hart diperintahkan keluar padang selepas mendapat kad kuning kedua kerana bentesan keras ke atas Milner.
Drama seterusnya berlaku di minit ke-42. Dalam perebutan bola di dalam kotak penalti Fellaini yang mengisi sementara posisi pertahanan tampak telah mengasari Aguero. Namun pengadil Michael Oliver meneruskan permainan. Dalam tindakan susulan dilihat Fellaini mengherdik Aguero yang masih terbaring kesakitan dan juga kelihatan seperti Fellaini ada membuat ludahan kepada Aguero (ada pandangan mengatakan itu hanyalah air liur Fellaini yang jatuh berjijiran).
Di hujung babak pertama sekali lagi City ditidakkan sepakan penalti oleh Michael Oliver. Kali ini insiden itu lebih jelas dan berlaku di hadapan mata beliau sendiri. Jovetic membuat hantaran sungkit bijak ke kotak penalti dan Rojo tidak sedar kehadiran Toure yang membuat larian di belakang beliau telah mengasari Toure. Insiden yang jelas lagi nyata itu sepatutnya bersudah dengan City dihadiahkan penalti dan Rojo dilayangkan kad merah (pemain terakhir menghadang percubaan gol) tetapi tidak diberikan. Mungkin kerana United sudah bermain 10 orang dan pengadil mahu menjaga keseimbangan perlawanan.
Pasukan City tampak selesa menguasai permainan berhadapan 10 orang pemain United. Pemain United lebih banyak berkampung di bahagian sendiri menerima asakan City. Mereka semakin tertekan apabila Rojo pula terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan bahu dalam pertembungan dengan Demichelis. Tempat beliau digantikan oleh pemain muda Paddy McNair. Kini bahagian pertahanan United dibarisi oleh Valencia, Carrick, McNair dan Shaw di mana 2 daripada barisan itu adalah pemain tengah dan seorang pemain muda tidak berpengalaman.
City terus menguji barisan pertahanan United dan sepatutnya dihadiahkan penalti yang ketiga permainan apabila Carrick pula menjatuhkan Aguero yang menggelecek bola dalam kotak penalti. Tetapi City tidak perlu menunggu lama, di minit ke-63 Toure melihat ruang di bahagian kiri dan menghantar bola lorongan untuk Clichy yang membuat overlap. Clichy berjaya mengejar bola dan membuat hantaran lintang ke tengah kotak penalti. Aguero yang menanti di kotak penalti melepaskan tendangan kaki kiri menewaskan De Gea.
Kelebihan berada di tangan City yang kini satu gol di hadapan dan satu pemain lebih. Tetapi kredit harus diberikan kepada pemain United yang tidak berputus asa dan menukar strategi menghadapi City. Kelebihan pemain City seperti tidak dirasai apabila United mara mencari gol penyamaan. Hart terpaksa menyelamatkan percubaan van Persie dan sudut tajam di minit ke-71. Pergerakan Rooney dan Di Maria di tengah padang berjaya mengkucar-kacirkan formasi tengah City. Di minit ke-77 Rooney hampir berjaya membuat larian ke arah gol tetapi dihadang Demichelis. Bola muntah jatuh kepada Di Maria yang membuat rembatan leret dan memaksa Hart merebahkan badan menepis bola keluar. United juga mula bermain bola hantaran jauh mencari Fellaini yang banyak membawa ancaman. Beberapa kali Fellaini terlepas peluang membuat tandukan ke arah gol dan seringkali tandukan beliau kepada rakan United membawa kepada peluang gol. Pellegrini akhirnya membawa masuk Fernandinho untuk memberi kestabilan di bahagian tengah City dan strategi itu nampaknya berkesan dan keputusan 1-0 kekal sehingga ke penghujung babak.
City sebelum itu ada mendapat peluang mematikan perlawanan lebih awal apabila Jesus Navas membawa bola ke dalam kawasan penalti tetapi percubaan beliau terkena tiang di minit ke-74. Di akhir babak kedua pula Toure membuat pusingan cantik menewaskan McNair tetapi bola lencongan beliau tersasar ke tepi tiang dengan De Gea sudah tertewas.
Boleh gerenti inilah riak muka semua penyokong City semalam |
Fakta menarik perlawanan:
1. Kemenangan derbi ini adalah kali ke-4 berturut-turut buat City. Kali terakhir City berbuat demikian adalah pada tahun 1970.
2. Rekod 7 pertembungan terakhir derbi Manchester: City 6 - United 1 (tiada seri)
3. Aguero sudah menjaringkan 11 gol dalam 12 kemunculan musim ini.
4. Ini adalah permulaan terburuk United semenjak tahun 1986.
5. United setakat ini memegang rekod kad merah paling banyak musim ini (5 kad).
6. City adalah pasukan kedua selepas Liverpool berjaya menundukkan United 4 kali berturut-turut dalam era BPL.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Rujukan: DailyMail
4. Ini adalah permulaan terburuk United semenjak tahun 1986.
5. United setakat ini memegang rekod kad merah paling banyak musim ini (5 kad).
6. City adalah pasukan kedua selepas Liverpool berjaya menundukkan United 4 kali berturut-turut dalam era BPL.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Rujukan: DailyMail