Rabu, 26 November 2014

Laporan Kaki Bangku: UCL 2014/15 Manchester City (3) - Bayern Munich (2)

Kalau ada orang bertanya, "Typical City tu apa?". Maka tunjukkan saja perlawanan City menentang Bayern semalam. Itulah Typical City; suka menyusahkan diri sendiri dan kemudian bangkit kembali bila semua harapan seolah-olah sudah tiada. Menonton City bermain sama saja seperti menaiki permainan roller-coaster. Adrenalin merembes sepanjang perjalanan. Kalau anda lemah semangat, lemah jantung atau mengidap darah tinggi maka menyokong City adalah satu hazad. Tetapi kenikmatan yang tersembunyi pada Typical City ialah bila masa kita dapat menyaksikan sendiri City bangun dari kejatuhan seperti burung phoenix bangkit daripada abu. Kepuasan maksimum.





Seperti dijangka Pellegrini meletakkan fokus taktik pada kekuatan di bahagian tengah. Hanya Aguero beroperasi di bahagian serangan dan beliau dibantu jentera tengah yang dibarisi Fernando. Lampard, Milner, Nasri dan Navas. Ini adalah satu strategi untuk meneutralkan ancaman Bayern yang datang dari 2 tonggak tengah utama mereka Arjen Robben dan Frank Ribery.

Di awal permainan posesi bola lebih banyak dikuasai Bayern yang bermain pantas. Pergerakan dinamik Robben dan Ribery seringkali menemukan ruang untuk dieksploitasi. Di minit ke-9 Joe Hart terpaksa menghadang percubaan Sebastian Rode dari hantaran cantik Robben. Hanya selepas 15 minit barulah pasukan City mula mendapat rentak dalam permainan mereka dan bola bertukar milik di antara kedua-dua pasukan dalam gerakan serang menyerang.


Ketika berbalas posesi di minit ke-20 Lampard membuat satu hantaran bola melewati barisan pertahanan Bayern yang terus dikejar oleh Aguero. Benatia cuba mengejar Aguero dan dalam keadaan terdesak membuat cubaan mengeluarkan bola tetapi malangnya beliau telah menjatuhkan Aguero di dalam kotak penalti. Penalti dianugerahkan kepada City dan Benatia dilayangkan kad merah kerana menghalang peluang gol. Aguero bangun mengambil sepakan penalti dan berjaya menewaskan Neuer untuk gol pembukaan.







Dengan kelebihan gol dan juga jumlah pemain City sepatutnya mematikan perlawanan lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan mata dalam perlawanan ini. Tetapi ini tidak berlaku dan sebaliknya pasukan City mulai lalai dan merendahkan tempo. Pasukan Bayern pula terus bermain pantas dan lebih gigih mengejar bola untuk mengawal posesi. Sedikit demi sedikit Bayern mara ke kawasan gol City membawa ancaman. Di minit ke-37 Ribery dan Robben bergabung lagi merintis gerakan ke arah gol City yang akhirnya memaksa Mangala melakukan faul ke atas Lewandowski dan memberikan sepakan bebas di pinggir kotak penalti.

Ketika ini rasa kurang senang sudah menular di dalam hati sehingga terpaksa menukar siaran TV untuk menenangkan jiwa. Apabila menukar kembali ke siaran perlawanan terpapar Alonso sedang mahu mengambil sepakan dan seperti mimpi buruk menjadi nyata bola bergolek masuk ke gawang City. Hart menyangkakan Alonso akan mencuba melewati atas dinding pemain City tapi sebaliknya beliau membuat sepakan leret dan Hart hanya mampu terpaku melihat bola masuk untuk gol penyamaan.




Gol penyamaan Bayern seperti tidak mempunyai impak kepada pemain City. Mereka terus bermain dengan tempo sederhana dan tiada keinginan dari segelintir pemain untuk memberi tekanan dan mengejar bola. Beberapa pemain kelihatan berlegar-legar di kawasan zon mereka. City kelihatan sudah 'berhenti' bermain pada 5 minit terakhir separuh masa pertama dan berpuas hati dengan kedudukan 1-1.

Ini mengundang bahaya namanya kerana Bayern tidak sedikit pun memperlahankan rentak mereka. Sikap acuh tak acuh City dihukum pada minit ke-45 bila Jerome Boateng mara ke hadapan dan membuat hantaran lambung ke kawasan gol City. Lewandowski bergelut dengan Sagna untuk mendapatkan bola tinggi itu yang akhirnya dimenangi Lewandowski. Dari siaran ulangan mungkin bola berjaya ditanduk Lewandowski atau mungkin juga terkena bahu beliau tetapi yang pasti trajektori bola itu membuatkan Joe Hart sekali lagi terpaku di posisi beliau. Bayern dengan 10 pemain berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului perlawanan.




Kini City berada di ambang kekalahan dan tiada sesiapa yang patut dipersalahkan kecuali diri mereka sendiri. Pentas drama kebangkitan yang tersedia lebih awal apabila Roma sekadar seri dengan CSKA Moscow tampak seperti bertukar menjadi pentas drama tragedi.

Pellegrini pasti ada mengatakan sesuatu di bilik persalinan kerana bermula pada separuh masa kedua pendekatan City sangat berbeza. Hantaran kini dilakukan dengan pantas, bola bebas dikejar penuh gigih, City mula bermain lebih agresif dan bermain tinggi menekan Bayern ke kawasan mereka. Sekali sekala terdedah juga City kepada ancaman serangan kilas Bayern tetapi berjaya ditidakkan barisan pertahanan.

Walaubagaimanapun sebahagian besar posesi bola masih berpihak kepada Bayern. Hantaran pendek dan pantas serta pergerakan dinamik pemain tengah mereka menyukarkan City untuk mengawal permainan. City mula kebuntuan idea dan api perlu dilawan dengan api. Lalu Jovetic dan Zabaleta dimasukkan menggantikan Milner dan Sagna. Kemasukan Jovetic memberi dimensi baru dalam gerakan City dengan beliau dan Nasri bergerak secara bebas mencari ruang kosong mencipta peluang (seperti Robben dan Ribery).

Di sepuluh minit terakhir, perlawanan masih berpihak kepada Bayern. Ancaman City berjaya disekat oleh Bayern setakat ini. Bayern pula kelihatan sudah mahu menutup kedai dengan mengeluarkan Ribery dan Lewandowski. Schweinsteiger dan Shaqiri masuk mengambil tempat mereka.

Jika di separuh masa pertama pasukan City yang terleka di hujung babak maka di separuh masa kedua giliran pasukan Bayern pula yang melakukan kesilapan sama. Di minit ke-85 ketika bola berada dalam posesi Bayern, Alonso cuba membuat hantaran ke belakang namun hantaran beliau berjaya dipintas Jovetic. Bola jatuh ke kaki Aguero yang terus memecut laju membawa bola menuju ke arah Neuer. 2 pemain pertahanan Bayern cuba mengejar tapi apakan daya Aguero terlalu laju buat mereka dan berdepan Neuer Aguero kekal tenang untuk menjaringkan gol penyamaan.



Gol penyamaan Aguero menyemarakkan semangat pemain City. Gol kemenangan terus dicari dalam masa yang semakin suntuk. Akhirnya kebangkitan City terlengkap di dalam masa kecederaan. Kompany membuat hantaran ke hadapan mencari penyerang City. Jovetic membuat tandukan kuis mencari Aguero tetapi bola jatuh kepada Boateng namun kawalan Boateng pula tidak kemas dan Aguero segera mencuri bola dari kaki beliau dan membawa bola ke kotak penalti sebelum menewaskan Neuer buat kali ketiga.





Agak ironis untuk difikirkan kerana gol-gol penyamaan dan kemenangan City itu melibatkan 2 pemain yang sama untuk 2 gol Bayern. Alonso yang menjaringkan gol penyamaan Bayern telah melepaskan bola kepada Aguero untuk gol penyamaan City manakala Boateng yang membuat bantuan gol pendahuluan Bayern juga telah membuat 'bantuan gol' kepada Aguero untuk gol kemenangan City. Kemenangan manis ini sudah pasti akan mengingatkan para peminat City kepada hari bersejarah kemenangan 3-2 ke atas QPR dulu.

Fakta menarik perlawanan:
1. Manchester City adalah pasukan pertama yang berjaya mengalahkan Bayern Munich musim ini.
2. Dengan kemenangan ini kemarau Liga Juara-Juara Eropah Manchester City akhirnya tamat.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.