Isnin, 10 November 2014

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Queens Park Rangers (2) - Manchester City (2)

Terima kasih kepada Aguero, City dapat pulang dari Loftus Road membawa 1 mata. 2 kali QPR mendahului City namun 2 kali Aguero menggunakan skil individu beliau untuk menyamakan kedudukan. Ada yang lega dengan 1 mata yang diperoleh namun mungkin ramai penyokong City sedar yang ia adalah 2 mata yang keciciran. City sekali lagi secara keseluruhan kelihatan gugup dalam aksi mereka.



Hadir ke dalam perlawanan ini City membawa statistik yang tidak memberansangkan. 3 daripada 5 perlawanan terakhir mereka berakhir dengan kekalahan dan dalam 4 daripada 5 perlawanan itu City bolos 2 gol (8 gol dalam 5 perlawanan). Pellegrini sedar akan kelonggaran di bahagian belakang City (ditambah dengan ketiadaan Kompany) dan cuba untuk memperketatkan pertahanan mereka dengan menggunakan formasi 4-2-3-1. Fernando dan Fernandinho digandingkan sebagai 2 defensive midfielder di hadapan Mangala dan Demichelis. Toure beroperasi di belakang Aguero sambil diapit Nasri dan Navas.


QPR juga apa kurangnya dengan 4 kekalahan dalam 5 perlawanan terakhir dan bolos 9 gol dalam 5 perlawanan terakhir mereka. Mengejutkan statistik kurang cantik ini dikongsi oleh 2 pasukan yang jauh berbeza kedudukan liganya (City di tempat ke-3 dan QPR ke-19).

QPR bermain secara agresif menekan pasukan City di separuh masa pertama. 2 jaringan oleh Charlie Austin dibatalkan pengadil. Yang pertama kerana ofsaid dan yang lebih menarik gol kedua Austin dibatalkan kerana kesilapan Hart yang menyentuh bola 2 kali ketika mengambil tendangan gol. Tetapi ancaman Austin tidak berakhir di situ. Pada minit ke-21 Austin berjaya mendapat bola through ball daripada Isla dan menewaskan Joe Hart.

Ofsaid
Kesilapan teknikal oleh Hart
Gol
City hampir menyamakan kedudukan melalui Toure tetapi rembatan beliau terlepas sipi dari tiang gol lalu bola tepat menyinggah muka seorang budak perempuan. Kesian tapi khabarnya Toure memujuk budak tersebut selepas perlawanan dengan memberikan jersi berautograf.

Kalau macam ni siapa tak rela tadah muka?
City tidak perlu menunggu lama selepas itu untuk mendapatkan gol pertama mereka. Bola hantaran jauh Mangala dikawal kemas oleh Aguero sebelum menewaskan Robert Green. Separuh masa pertama berkesudahan 1-1.



Di separuh masa kedua City bermula dengan lebih baik. Beberapa gerakan bahaya disusun namun tiada penyudah gol. Dzeko cuba dibawa masuk Pellegrini untuk menambah tenaga penyerang namun beliau hanya berada di atas padang selama 4 minit. Dzeko yang masuk menggantikan Fernandinho terpaksa dikeluarkan kerana cedera dan Lampard mengambil tempat beliau. City yang mahu bermain 4-4-2 kembali kepada formasi 4-2-3-1.

QPR kembali mendapat rentak mereka dalam selepas jam pertama perlawanan. Tekanan mereka sekali lagi berhasil apabila hantaran lintang Austin mencari Zamora ditanduk Demichelis ke dalam gawangnya sendiri.



Mengecewakan buat City yang bermula cerah di babak kedua. City mula tertekan selepas ketinggalan buat kali kedua. Namun mereka berhasil menarik nafas lega pada minit ke-83 apabila Aguero sekali lagi menunjukkan skil individunya mengawal bola dan menewaskan 3 pemain pertahanan dan Green untuk gol kedua City. Kali ini Aguero mendapat umpanan jarak jauh daripada Toure.


Agak menarik kerana dua gol City dijaringkan dari gerakan hantaran jarak jauh dan bukannya permainan posesi yang diamalkan mereka. Sekali lagi kelonggaran pertahanan City terdedah dan ternyata City sedang menghadapi satu fasa krisis taktikal dan moral. Kebanyakan gerakan mereka kurang menjadi dan mereka sering terdedah kepada gerakan serangan kaunter pihak lawan. Mujurlah ada Aguero menyelamatkan keadaan.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Rujukan: DailyMail UK
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.