Manchester City pulang gembira bersama 3 mata. Padang Goodison Park berjaya dijinakkan dengan kemenangan 0-2. Rekod sempurna liga diteruskan dengan kemenangan dalam kesemua 3 perlawanan pembukaan. Malahan semenjak penghujung musim lalu City sudah menang dalam 9 perlawanan berturut-turut menyamai rekod terkini kelab. Kemenangan ke atas Watford Sabtu depan bererti rekod baru kelab bakal tercatat.
Rekod lawatan City ke laman Everton tidaklah begitu cantik. Acap kali Everton mempamerkan permainan berdaya juang tinggi bila berdepan City. Perlawanan semalam tidak terkecuali bila kedua-dua pasukan berhempas-pulas mencari gol pembukaan. Selepas peluang demi peluang, akhirnya City mendapat gol dari sumber tak tersangka; Aleksander Kolarov. Penguasaan City kemudian dipastikan oleh Samir Nasri dengan jaringan di penghujung masa.
Manchester City bermula lebih garang dengan Aguero dua kali dikecewakan oleh Tim Howard. Silva turut menduga Howard sebelum peluang terbaik City di separuh masa pertama tidak disempurnakan Sterling selepas dihidangkan oleh Silva.
Ketiadaan Baines di bahagian kiri Everton memudahkan Navas bermaharajalela di sayap kanan dan pemain muda Brendan Galloway jelas sukar menangani beliau. Galloway akhirnya tercedera dan terpaksa digantikan.
Everton tidak sekadar berdiam diri dan mula meningkatkan taraf permainan mereka. Kelebihan fizikal Lukaku, kepantasan Kone dan kelincahan Barkley diguna habis-habisan untuk memecah tembok pertahanan City. Bahkan Lukaku berjaya membolosi gawang Hart tetapi bendera ofsaid terlebih dahulu dikibarkan. Di penghujung babak pertama 2 kali Everton dihadiahkan sepakan bebas di pinggir kotak penalti City. Mujurlah ketiadaan Baines mengurangkan ancaman bola mati Everton walaupun mereka hampir memecah kebuntuan apabila sepakan kedua yang diambil Lukaku terkena palang dan keluar.
Di awal separuh kedua Silva melepaskan diri ke dalam kotak penalti tetapi sayang rembatan beliau sekadar bertemu tiang. City meneruskan tekanan dan di minit ke-60 kebuntuan jaringan terurai apabila gol dijaringkan oleh Aleksander Kolarov dengan tendangan deras kaki kiri beliau menewaskan Howard di tiang dekat. Tidak pasti Kolarov yang dilepaskan oleh Sterling sebenarnya membuat percubaan atau cuba menghantar silang.
Navas kemudian berpeluang menggandakan kelebihan City tetapi rembatan beliau tepat terkena muka Howard. Lalu Everton lantas menaikkan usaha mereka mencari gol. Penjaring gol penyamaan musim lepas, Naismith masuk menggantikan Kone. Everton tampak berbahaya dari gerakan sepakan penjuru mereka dan mujur Kompany menyelamatkan bola tandukan Barry di atas garisan gol. Perlawanan berpindah dari satu pihak ke pihak yang lain sebelum Nasri yang masuk menggantikan Sterling menyudahkan umpanan Toure dan menewaskan Howard dengan satu kuisan lambung pada minit ke-88. Keputusan kekal sehingga ke wisel penamat untuk City menduduki tangga teratas liga dengan 9 mata sempurna.
Fakta menarik perlawanan:
1. Kolarov sudah menjaringkan gol dalam setiap 6 musim bersama Manchester City.
2. Gol Kolarov itu hanyalah gol kedua beliau yang dijaringkan dari dalam kotak penalti.
3. Tembok besar Manchester nampaknya tersebar sehingga ke kawasan jiran. Buat pertama kali kedua-dua pasukan Manchester mencatatkan tiada-bolos dalam 3 perlawanan liga.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber imej: Manchester Evening News, The Guardian