Isnin, 17 Ogos 2015

BPL 2015/16: Manchester City (3) - Chelsea (0)

Kepuasan maksimum. Manchester City membuktikan merekalah pasukan biru yang sejati dalam Pertarungan Biru menentang Chelsea. Falsafah menyerang Pellegrini ditafsirkan dengan jelas dalam keputusan selesa 3-0 untuk City mencatatkan kemenangan ke atas juara bertahan BPL itu. City kini di puncak liga BPL dan 5 mata di hadapan Chelsea.


Turun dengan seleksi terkuat mereka, City memulakan serangan ke atas gawang Chelsea seawal wisel pembuka ditiup. Aguero berjaya dilepaskan oleh Silva untuk berhadapan dengan Begovic hanya selepas 20 saat perlawanan bermula. Namun dengan tekanan oleh Gary Cahill yang mengejar dari belakang, Aguero menendang terus ke arah Begovic yang mudah menampan selamat bola. Bola liar itu kemudian disambut oleh Navas yang hanya mampu melihat percubaannya sipi melewati tiang gol Chelsea.

Separuh masa pertama boleh dirumuskan adalah tentang Aguero menentang Begovic. Begovic dua kali menjadi penghalang Aguero mendapatkan gol pertama beliau musim ini selepas peluang di awal permainan. Pertamanya dari hantaran lintang Kolarov yang berjaya mencari Aguero di dalam kotak penalti Chelsea. Selepas membuat pusingan tajam, Aguero merembat leret tetapi Begovic tangkas menangkap bola. Kemudiannya hantaran lintang Navas pula tiba ke kaki Aguero dan sekali lagi rembatan Aguero selesa ditangkap Begovic. Kali keempat Aguero menguji gawang dari satu lagi hantaran Kolarov tapi sayang tampanan Aguero tidak kemas dan bola tersasar ke tepi tiang. Mungkin kaki Aguero masih lagi agak berkarat selepas berehat lama dari permainan kompetitif.

Pada minit ke-32 akhirnya City memecah kebuntuan. Bermula dari gerakan di sebelah kanan, Silva menghantar bola kepada Aguero yang bertukar hantaran dengan Toure di pinggir kotak penalti Chelsea. Bola kembali dalam kawalan Aguero yang dengan lincahnya mengelak 4 orang pemain pertahanan Chelsea sebelum melencongkan bola leret menewaskan Begovic.




Chelsea yang sekali-sekala menyerang tidak mendapat peluang jelas menguji gawang Hart dengan Kompany dan Mangala ketat mengawal Diego Costa dan ancaman Hazard dineutralkan oleh Sagna. Kedudukan 1-0 terus membakar semangat City dan tekanan ke gawang Chelsea diteruskan. Kolarov yang menjadi sumber ancaman City hampir membantu menggandakan kelebihan City apabila hantaran beliau tidak berjaya disudahkan Mangala dari satu tendangan bebas.


Krisis medik Chelsea menjadi nyata apabila 2 pemain terpaksa dirawat pada waktu yang sama. Gary Cahill berdarah di hidung akibat ditumbuk Begovic dan Costa berdarah di kepala selepas bergelut dalam perebutan bola udara dengan Fernandinho. Tindakan Mourinho yang mengurangkan staf medik Chelsea hampir memakan diri apabila Chelsea terpaksa bermain dengan 9 orang buat sementara waktu.



Separuh masa pertama tamat dengan City menonjolkan dominasi di setiap posisi. Kompany dan Mangala bergabung mencipta tembok besar, Sagna mantap mengikat Hazard, Kolarov mengancam dengan hantaran deras dari kiri, Toure bergerak bak kereta kebal, Fernandinho seperti dirasuk semangat Nigel de Jong, Silva bebas meneroka ruang Chelsea manakala Navas dan Sterling pula persis 2 jet pejuang yang mengapit Aguero si penembak tepat. Chelsea diikat rapi tanpa sebarang percubaan tepat ke gawang City.

Di separuh masa kedua Chelsea mengubah pendekatan mereka untuk mencari gol penyamaan. Kapten John Terry dikeluarkan dan digantikan dengan Kurt Zouma. Sebab di belakang perubahan itu adalah kerana Mourinho mahu Chelsea bermain dengan garis pertahanan yang tinggi dan Mourinho mahukan pemain yang pantas. Sedikit sebanyak perubahan taktikal itu mula memberi impak kepada corak perlawanan. Chelsea mula menguasai ruang di bahagian kiri melalui Hazard dan Costa dan City terpaksa berkampung mempertahankan gol pendahuluan. Dua kali City menarik nafas lega terlepas dari ancaman Chelsea apabila gol Ramires dibatalkan kerana ofsaid dan kemudiannya melihat percubaan Hazard tepat kepada Hart selepas Costa melepaskan diri di bahagian kanan City.

Di kala momentum dilihat semakin beralih kepada Chelsea, Kompany bangkit menunjukkan kewibawaan dengan menjaringkan gol kedua City pada minit ke-79. Dari satu sepakan penjuru Silva, Kompany melonjak tinggi menanduk masuk gol. Ini bermakna 2 gol dari 2 perlawanan berturut-turut buat Kompany, pencapaian yang kali terakhir dilakukan beliau pada Disember 2013.




Pellegrini sejurus sebelum gol Kompany memagar kubu City dengan mengeluarkan Sterling dan memasukkan Demichelis. Demichelis beraksi sebagai pasak di bahagian tengah menambahkan perlindungan kepada barisan pertahanan City di samping membolehkan Toure dan Fernandinho bergerak lebih bebas.



Kebebasan Fernandinho membuahkan hasil apabila dalam satu gerak serang bola yang ditendang Ivanovic ditampan oleh Silva dan bola melantun liar ke arah Fernandinho yang tanpa membuang masa meledakkan tendangan melepasi Begovic. 3-0 ketinggalan kepada City di Etihad dengan masa berbaki 5 minit semestinya bererti 'permainan tamat' dan Chelsea pulang hampa bersama kekalahan terbesar mereka kepada City semenjak tahun 1978.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber imej: Manchester Evening News, Getty Images
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.