Ahad, 2 Ogos 2015

Pra-Musim 2015/16: Stuttgart (4) - Manchester City (2)

Walaupun sekadar perlawanan persahabatan dan Pellegrini mungkin masih mencuba beberapa teori taktikal, ketinggalan 4-0 di dalam separuh masa pertama banyak mendedahkan kelemahan City. Ini boleh memberi idea kepada Pellegrini untuk penambahbaikan pasukan.


1. Bahagian bek sayap sekali lagi didedahkan sebagai posisi yang mudah dieksploitasi pihak lawan. Sagna dan Kolarov begitu mudah dilepasi ketika Stuttgart menyerang dari bahagian sayap.

2. Barisan pertahanan City perlu mendapatkan perlindungan dari pemain tengah. Di separuh pertama, City menurunkan 2 pemain sentral menyerang (Silva dan Nasri) dan meletakkan tugas tengah bertahan kepada George Evans. Tetapi seperti yang terjadi ketika City bermain 4-4-2 musim lalu, Evans seorang tidak mampu memberi perlindungan kepada pertahanan City yang sering terpaksa berhadapan situasi 4 lawan 4. Selepas kemasukan Zuculini di separuh kedua barulah barisan pertahanan City mulai stabil dan mampu mengekang serangan Stuttgart.

3. Persembahan Kompany masih jauh dari prestasi terbaik beliau. Selepas dibelenggu masalah kecederaan musim lalu, Kompany masih bergelut mencari kembali rentak beliau. Namun di sebalik masalah ini peminat dapat menonton kebolehan Denayer yang dilihat mampu menjadi pengganti Kompany kelak. Malahan gaya permainan mereka juga lebih kurang sama.

4. Formasi longgar yang dimainkan City di separuh masa pertama menyukarkan City menguasai bola. Jarak di antara pemain terlalu jauh dan pemain Stuttgart mudah merampas bola dan mengawal posesi. Berlawanan dengan City, Stuttgart bermain lebih ketat dan pemain mereka sering mendapat sokongan dari rakan sepasukan. Di separuh kedua City bermain lebih rapat dan perubahan dalam permainan City dapat dilihat.

5. City masih bergelut dalam merebut bola tinggi mendedahkan mereka kepada serangan kilas pihak lawan.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.