Kisah pergeseran di antara Pellegrini dan Mourinho tidaklah sehangat antara Wenger dan Mourinho tetapi ianya sering menjadi topik di media massa. Ini kerana gara-gara dua pengurus ini pernah menjadi pengendali kelab gergasi Real Madrid dan yang menjadikan ia lebih hangat ialah kerana Mourinholah yang menggantikan Pellegrini di Real Madrid.
Mourinho pernah mengeluarkan komen berkenaan Pellegrini berbunyi, "Jika saya dipecat, saya tidak akan pergi ke Malaga. Saya akan pergi ke kelab besar di Serie A atau BPL". Namun Pellegrini memilih untuk bersikap tenang dan tidak menjerumuskan diri dalam perang mulut bersama Mourinho.
Mungkin sikap tenang Pellegrini ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa hormat Mourinho kepada Pellegrini. Dalam pertembungan BPL pertama di antara mereka berdua, pasukan Chelsea menewaskan City 2-1. Mourinho yang menyambut kemenangan berlari di hadapan pasukan City dan ini membangkitkan kemarahan Pellegrini. Pellegrini mengambil keputusan untuk tidak bersalaman dengan Mourinho. Mourinho pula kemudian segera meminta maaf kepada Pellegrini dan menerangkan beliau hanya mahu pergi berjumpa anaknya di barisan penonton.
Mourinho pernah memberi sokongan kepada Pellegrini apabila pengurus City itu dikritik hebat oleh media penghujung musim lalu dengan mengatakan layanan yang diberikan kepada Pellegrini itu tidak adil.
Pellegrini pula mendedahkan beliau telah mengundi Mourinho untuk memenangi Pengurus Terbaik Tahunan bagi musim 2014/15.
Ternyata walaupun dua pengurus ini tidaklah semesra mana tetapi mereka adalah sahabat di alam profesional.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru