Perang Biru meledak awal musim ini. Penyandang juara BPL, Chelsea akan bertandang ke laman juara BPL musim 2013/14 untuk perlawanan minggu ke-2 BPL. Pasukan City yang memulakan kempen 2015/16 dengan lebih baik (menang ke atas WBA 0-3) berpeluang melebarkan jurang di antara dua gergasi biru ini kepada 5 mata.
Musim lalu kita disajikan dengan persembahan mantap kedua-dua pasukan dengan permainan pantas sepanjang 90 minit. Malah City mempamerkan semangat juang penuh bangga mereka apabila mendapatkan gol penyamaan dengan bermain bersama hanya 10 orang. Mungkin kali ini tiada adegan emosional jaringan gol penyamaan Frank Lampard tetapi jangkakan satu lagi pertembungan penuh hiburan dari City dan Chelsea.
Tiada perubahan besar dijangkakan dalam kesebelasan utama City. Hanya Delph dan Fernando disahkan tidak cergas untuk pemilihan. Mungkin satu-satunya perubahan dilakukan di bek kiri dengan Clichy menggantikan Kolarov untuk mengukuhkan pertahanan di bahagian sayap kiri City. Kali ini barulah kita dapat menguji bagaimana formasi baru City (4-2-3-1) beraksi bila berdepan lawan yang hebat seperti Chelsea.
Kelebihan kepada City hari ini ialah ketiadaan penjaga gol utama Chelsea, Courtois yang digantung perlawanan kerana dibuang padang ketika berdepan Swansea minggu lalu. Namun begitu penjaga gol gantian Begovic bukanlah calang-calang orang yang boleh dipandang enteng. Ancaman terbesar City hari ini ialah gerakan serangan kilas dari Chelsea. Chelsea dijangka akan bermain lebih bertahan dan mencari peluang menyerang dengan pantas. Memandangkan serangan kilas adalah antara kelemahan utama City musim lalu, City perlu berhati-hati dengan pemain pantas yang dimiliki Chelsea.
Mangala memberikan aksi terbaik beliau ketika berdepan Chelsea musim lalu. Walaupun prestasi beliau agak terumbang-ambing selepas itu adakah musim ini beliau sudah menemui stabiliti dan membentuk Tembok Besar Manchester bersama Kompany? Kita saksikan bagaimana prestasi mereka nanti. Pemain termahal City, Raheem Sterling bakal beraksi buat pertama kali di Etihad sebagai pemain City. Selepas aksi memberansangkan dalam perlawanan menentang WBA, hari ini kita boleh melihat ketajaman kombinasi SAS City beraksi. Ramalan Blog Bulan Biru: City 2 - Chelsea 0.
Fakta menarik pra-perlawanan:
1. Joe Hart akan membuat kemunculan ke-150 beliau di Stadium Etihad.
2. City menang dalam 7 perlawanan BPL terakhir di Stadium Etihad.
3. City tidak bolos dalam 6 perlawanan BPL terakhir di Stadium Etihad.
4. Chelsea tidak kalah dalam 18 daripada 19 perlawanan BPL terakhir mereka.
3. City tidak bolos dalam 6 perlawanan BPL terakhir di Stadium Etihad.
4. Chelsea tidak kalah dalam 18 daripada 19 perlawanan BPL terakhir mereka.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber: Twitter, WhoScored.com
Sumber: Twitter, WhoScored.com