Isnin, 22 September 2014

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Manchester City (1) - Chelsea (1)

Perlawanan penuh debaran di antara dua kuasa Biru ini berlangsung dengan skrip yang tidak terjangka. Keputusan mutakhir 1-1 langsung tidak mencerminkan permainan bertempo pantas, aksi serang menyerang dan pertunjukan pertahanan bertaraf 5 bintang dari kedua pasukan. Biarpun sekadar berkongsi mata para penyokong City boleh pulang dengan rasa puas hati menyaksikan semangat juang tidak mengenal erti kalah yang dipamerkan oleh anak buah Pellegrini.


Statistik perlawanan (sumber: WhoScored.com)
Kedua-dua pasukan menurunkan seleksi terkuat mereka bagi perlawanan ini. Manchester City dengan kelebihan bermain di laman sendiri mahu merapatkan jurang mata dan sekali gus mengakhiri kemarau kemenangan (yang kini bertambah kepada 4). Chelsea pula ingin mengeksploitasi situasi City yang terpaksa berhadapan dengan 2 pasukan kuat sebelum ini (Arsenal dan Bayern) dan meluaskan jurang di persada liga pada awal musim. Seperti dijangka City menurunkan 2 penyerang selepas merehatkan salah seorang dalam 2 perlawanan sebelumnya. Perubahan yang menarik dilakukan oleh Pellegrini ialah dengan memasukkan nama Mangala dalam senarai kesebelasan utama. Ini merupakan kemunculan pertama beliau untuk pasukan Manchester City. Bila lagi masa yang sesuai untuk membuat kemunculan pertama jika bukan menentang pencabar utama kejuaraan liga? Harapan untuk melihat Mangala dan Kompany melakur menjadi tembok akhirnya kesampaian.

Melakur menjadi..
Tembok Besar Manchester
Perlawanan berlangsung dengan tempo pantas sepanjang perlawanan dari minit pertama. Manchester City bermain dengan pendekatan yang berbeza daripada ketika perlawanan Arsenal dan Bayern. Mereka lebih pantas, lebih fizikal dan menekan pihak lawan untuk merampas posesi bola. Ini jelas tersurat dengan peratusan posesi sebanyak 60% oleh City di separuh masa pertama. Barisan pertahanan yang dikepalai Kompany dan Mangala berjaya mengunci pergerakan Costa dan Hazard daripada membuat sebarang percubaan merbahaya ke gawang gol Hart. Chelsea hanya membuat 1 percubaan gol pada separuh masa pertama. Saat paling membahayakan ialah ketika Chelsea meminta sepakan penalti selepas bola dikatakan terkena tangan Toure mempertahankan sepakan percuma Chelsea. Dengan penguasaan mereka City membuat 7 percubaan gol (walaupun hanya 1 menepati sasaran) dan memperoleh 9 sepakan penjuru. Malangnya tiada sebarang percubaan berhasil daripada gerakan sepakan penjuru dengan kesemuanya berjaya dipertahankan Chelsea; kredit kepada pasukan Chelsea. Pendekatan fizikal City menyaksikan 4 pemain mereka dilayangkan kad kuning dalam separuh masa pertama.

Costa dikunci Kompany
Pendekatan serupa diteruskan City pada separuh masa kedua. Pasukan Chelsea yang turun dengan formasi menyerang langsung tidak dapat menembusi kawasan gol Manchester City dan mereka lebih tertekan di dalam kawasan mereka sendiri. Namun pertahanan Chelsea menunjukkan mereka juga sekental barisan pertahanan lawan mereka. Serangan demi serangan City diserap dengan jayanya. Menyaksikan tekanan City pasukan Chelsea mula berubah daripada formasi menyerang kepada formasi serangan kaunter dengan mengeluarkan Ramires dan Willian yang digantikan oleh Schurrle dan Obi Mikel. Titik perubahan perlawanan berlaku di minit ke-66. Permainan fizikal pasukan City akhirnya seperti memakan diri apabila Zabaleta diarahkan keluar padang selepas mendapat kad kuning kedua setelah membuat bentesan keras ke atas Costa. Pertelingkahan berlaku di antara Zabaleta dan Costa dan mereka berdua dilayangkan kad kuning. Zabaleta yang sudah mendapat kad kuning di separuh masa pertama terpaksa akur dengan keputusan pengadil dan pulang ke bilik persalinan. Bukan ini sahaja keputusan pengadil yang tidak menyebelahi City. Beberapa minit sebelum itu, City ditidakkan sepakan penalti walaupun jelas Yaya Toure dijatuhkan Ivanovic. Ini merupakan kali ketiga berturut-turut City ditidakkan sepakan penalti sama seperti dalam perlawanan Arsenal dan Bayern.

Mandi awal
Bermain dengan 10 orang memaksa Pellegrini membuat pertukaran formasi. James Milner yang bermain di bahagian kanan tengah dibawa turun mengisi posisi bek kanan sebelum tempat itu diambil Sagna yang masuk menggantikan Dzeko. Kelebihan pemain dieksploitasi oleh Chelsea sebaik-baiknya. Mereka mula bermain lebih ke hadapan dan membuat serangan. Tembok Manchester akhirnya tembus juga pada minit ke-71. Gol Chelsea hampir serupa dengan gol Stoke di mana serangan kaunter bermula daripada sepakan penjuru City. Selepas bola ditanduk keluar dari kawasan penalti, pemain Chelsea mara ke kawasan gol City dan bola akhirnya singgah ke gawang Hart apabila Schurrle menyudahkan bola hantaran Hazard. Keputusan musim lepas seperti berulang kembali. City ketinggalan walaupun menguasai perlawanan. Selepas mendahului satu gol Chelsea tidak memilih untuk terus menekan Manchester City dan mendapatkan gol kedua sebaliknya lebih selesa memarkir bas dan membuat serangan kaunter. Ini memberi ruang kepada City untuk mengorak langkah mencari gol penyamaan. Formasi City ditukar lagi dengan kemasukan Navas dan Lampard menggantikan Fernandinho dan Kolarov. James Milner kini bertugas sebagai bek kiri. Manchester City menggandakan usaha mencari gol penyamaan dan kekurangan pemain seperti tidak terasa di mana City mengatur gerakan demi gerakan ke arah gol Chelsea. Dalam pada itu Chelsea hampir menambah jaringan apabila percubaan Costa sekadar mencium tiang gol.

Formasi akhir Manchester City bermain 10 orang
Gol penyamaan City hadir pada minit ke-85 dan daripada sumber yang tidak dijangka. Skrip sebegini tidak boleh ditulis apabila gol City dijaringkan oleh tidak lain dan tidak bukan bekas pemain lagenda Chelsea Frank Lampard. Lampard yang membuat larian ke kotak penalti menyudahkan bola hantaran Milner daripada gerakan pasukan yang cantik. Lampard bersikap profesional dengan tidak meraikan gol beliau atas dasar hormat kepada bekas kelabnya tetapi itu sudah cukup memadai buat penyokong City untuk menghela nafas lega. Selepas gol itu Manchester City seperti mendapat nafas baru menekan ke hadapan mencari gol kedua. Beberapa percubaan dilepaskan namun tidak menepati sasaran. Semangat juang City membuatkan seolah-olah Chelsea yang bermain dengan 10 orang dan bukan mereka. Keputusan 1-1 kekal hingga ke akhir perlawanan.


Super Frank lambang profesionalisme
Rata-rata tidak ada pemain yang mengecewakan dalam perlawanan ini tetapi 2 orang pemain yang paling menyerlah di dalam pasukan City adalah Mangala dan Milner. Mangala memperoleh kemunculan pertama yang hebat dengan menunjukkan ketangkasan beliau menguasai bola udara, merampas bola, menjaga pemain lawan dan juga membuat larian ke depan. Seolah-olah City menurunkan 2 orang Kompany di bahagian pertahanan. Milner pula membuktikan keupayaan beliau sebagai pemain utiliti. Walaupun memegang bahagian tengah sebagai posisi asal Milner menunjukkan fleksibiliti untuk bermain di bahagian sayap mahupun di bahagian bek (kiri ataupun kanan). Keupayaan serba boleh ini digabungkan pula dengan sikap kerja keras beliau menjadikan Milner kunci utama kepada kebangkitan City dalam perlawanan ini.


2 pemain City paling menyerlah
Diharap City meneruskan permainan penuh semangat ini dalam perlawanan-perlawanan seterusnya. Tapi memang terdetik jauh di sudut hati inilah 'Typical City'; jatuh di kala memegang kelebihan dan bangkit di saat kekurangan.

Superbia in proelio.

Rujukan: Tengok Astro live la bro dan WhoScored.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.