Kecewa. Hati luka. Harapan berderai. Itulah kata-kata sinonim yang boleh menggambarkan perasaan seorang penyokong Man City sebaik sahaja wisel penamat ditiup. Berdasarkan persembahan dan daya juang yang ditunjukkan anak buah Pellegrini selayaknya mereka pulang bersama satu mata. Tapi apakan daya mata berharga itu dirampas pada minit-minit akhir. Lebih memedihkan jaringan gol dilakukan oleh seorang bekas pemain City yang boleh dikategorikan sebagai City Reject.
Kekecewaan |
City turun dengan formasi 4-4-1-1/4-2-3-1 sekali lagi menurunkan hanya seorang penyerang sambil David Silva mengisi posisi no. 10 di belakang penyerang utama. Seperti dalam perlawanan menentang Arsenal, City dilihat menggunakan pendekatan menyerap tekanan lawan dan serangan kaunter.
Formasi asas City |
Bayern pula bermula dengan formasi 3-5-2. Mungkin tindakan bijak daripada Guardiola menentang formasi penyerang solo dan dalam masa yang sama mahu memenangi pertandingan di bahagian midfield. Perlawanan terus bermula dengan tempo yang pantas dan Bayern hampir-hampir membuka jaringan di minit-minit awal jika Muller tidak mensia-siakan peluang yang terhidang. Kedua pasukan berbalas gerakan namun posesi lebih banyak dikuasai Bayern dan percubaan Bayern juga lebih merbahaya. Permainan yang seimbang ditunjukkan Bayern dan City pada separuh masa pertama.
Masuk separuh masa kedua Bayern merubah sedikit formasi dengan Alaba naik ke bahagian midfield dan mula menggandakan tekanan ke gawang gol Manchester City. Daripada 20 percubaan ke gawang City 13 percubaan dilakukan pada separuh masa kedua. Sepanjang 90 minit pertama permainan City berjuang habis-habisan menyerap semua tekanan serta serangan daripada Bayern dan hampir pulang dengan 1 mata sebelum Jerome Boateng memecahkan kebuntuan. City sangat tidak bernasib baik kerana bukan sahaja mereka boleh mendapat mata seri tetapi beberapa minit sebelum jaringan gol Bayern mereka sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti atas kekasaran ke atas Silva.
Aksi kental City boleh ditujukan kepada 2 pemain yang paling menyerlah iaitu Joe Hart dan Fernandinho. Joe Hart membuktikan beliau adalah seorang penjaga gol bertaraf dunia dengan berkali-kali menyelamatkan bola percubaan Bayern.
Fernandinho pula mempamerkan ketangkasan fizikal membentes dan merampas bola dari pihak lawan. Boleh dikatakan ini adalah antara prestasi terbaik yang ditunjukkan Fernandinho. Lebih-lebih lagi semalam Yaya Toure seperti tidak efektif di bahagian tengah dan Fernandinho terpaksa bekerja lebih keras sebagai kompensasi.
Mengikut statistik perlawanan semalam Fernandinho membuat tackle dan dribble terbanyak perlawanan dan merupakan pemain terbaik City. Tidak menghairankan apabila Hart dan Fernandinho tersenarai dalam 5 pemain terbaik perlawanan.
Dengan kekalahan ini bererti City sudah tidak memenangi 3 perlawanan kompetitif berturut-turut (2 kalah dan 1 seri) dan pasukan yang menanti selepas ini pula ialah Chelsea. Mujurlah City mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri. Secara peribadi dirasakan City perlu memperbaiki penguasaan bahagian tengah dan hadapan. Dalam 2 perlawanan menentang Arsenal dan Bayern begitu jelas bahagian tengah dioverrun pihak lawan dan City terus tertekan di kawasan sendiri. Satu lagi aspek yang perlu dilihat adalah kelemahan City menangani bola udara di dalam kotak penalti. 2 gol (Sanchez dan Boateng) dilihat berpunca daripada kegagalan City menangani situasi tersebut. Diharap City mampu bangkit daripada kekalahan ini.
Superbia in proelio.
Rujukan: Tengok ASTRO live la bro.