Rekod menang ke atas WBA terus dilanjutkan. 3 gol dijaringkan. 3 mata dalam tangan. Puncak liga terus ditawan. Permulaan baik bagi pasukan City selepas persembahan suam ketika pra-musim. Yang lebih mengujakan ialah dominasi yang ditunjukkan City ke atas WBA sepanjang perlawanan.
Perlawanan seimbang hanya berkekalan dalam 5 minit pertama sebelum City mula mengawal permainan. Di minit ke-9 hasil dari tekanan City ke gawang WBA dari kanan kiri, Jesus Navas melorong bola kepada Yaya Toure yang membuat percubaan. Sentuhan Toure tidaklah begitu cantik dan bola hanya bergolek perlahan tetapi sudah cukup memakukan Boaz Myhill yang hanya mampu memandang sepi bola yang masuk ke dalam gawang.
Gol pertama Toure itu kini hangat didebatkan sama ada patut diberikan kepada beliau kerana dalam perjalanan masuk ke dalam gol bola tersebut kelihatan dikuis oleh Silva dan kemudian terkena kaki Craig Gardner. Adakah gol itu milik Toure, Silva ataupun Gardner?
Tapi apapun yang pasti gol kedua City sememangnya milik Toure. Bermula dengan larian Toure, beliau bergandingan dengan Bony yang meletakkan bola sedia untuk Toure meledakkan gol gaya klasik Toure dan menggandakan kelebihan City pada minit ke-22.
Bahagian tengah dan pertahanan City kelihatan begitu mantap menguasai permainan tidak memberi peluang langsung kepada tuan rumah. Pemain termahal City Raheem Sterling terlepas mendapatkan gol sulung BPL bersama City apabila cubaan beliau mudah diselamatkan Myhill dalam situasi satu lawan satu.
WBA cuba untuk bangkit menekan City di awal separuh masa kedua tetapi City segera meneutralkan tekanan mereka dan merampas semula penguasaan. Sebarang cubaan untuk bangkit dilenyapkan pada minit ke-59 apabila bola sepakan penjuru Silva disambut oleh kapten Kompany membawa kedudukan kepada 0-3. Gol yang istimewa kerana Kompany sudah lebih setahun tidak menjaringkan gol dan sepakan penjuru merupakan antara kelemahan ketara City musim lalu. Kelemahan itu seperti sudah mula diperbaiki melihat kepada rutin sepakan penjuru City hari itu yang lebih mengancam.
Aguero hanya masuk di pertengahan separuh masa kedua sebagai pemanas badan untuk menghadapi Chelsea Ahad ini. City memperoleh peluang menambah gol tetapi jaringan 0-3 sudah cukup membuktikan dominasi mereka ke atas WBA.
Fakta menarik perlawanan:
1. Manchester City mencatatkan 692 hantaran dalam perlawanan tersebut. 211 melebihi pencabar terdekat Arsenal (481).
2. City tidak terkalah dalam 11 perlawanan menentang pasukan yang diurus oleh Tony Pulis.
3. Rekod baik menentang WBA dilanjutkan kepada 12 kemenangan dalam 19 pertemuan BPL. WBA hanya pernah menang dalam 4 perlawanan.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru