Ahad, 9 Ogos 2015

Di Mana Jurang City? (Bahagian II)

Bersambung dari Bahagian 1.

2. Bahagian Sayap

Manchester City bagaikan helang tidak bersayap musim lalu. Pemain sayap mereka sangat lemah dalam melakukan hantaran lintang. Musim lepas City hanya berjaya melakukan 102 hantaran lintang berbanding 130 pada musim 2013/14. Walaupun berjaya membuat hantaran lintang, jarang sekali bola berjaya menemui pemain City kerana mudah dibaca lawan atau melayang entah ke mana. Kualiti hantaran lintang mesti segera diperbaiki kerana pada pandangan penulis satu-satunya pemain City yang boleh membuat hantaran lintang musim lalu hanyalah Kolarov. Jesus Navas sebagai seorang pemain sayap klasik yang sepatutnya menggalas peranan itu tampak gagal mengancam di sayap kanan. Ini mungkin disebabkan corak hantaran beliau yang tidak menepati gaya permainan Aguero atau beliau gagal membaca larian rakan sepasukan. Dengan pembelian Sterling dan perubahan formasi 4-2-3-1 nampaknya Manchester City boleh memantapkan permainan sayap mereka

3. Bola Mati

Musim lepas jarang-jarang sekali City berjaya mendapatkan gol dari situasi bola mati hatta dari sepakan bebas ataupun sepakan penjuru. Di akhir-akhir musim barulah Kolarov berjaya menyumbat beberapa gol dari sepakan bebas. Sepakan penjuru merupakan mimpi ngeri buat pasukan City. Mereka mengalami kemarau gol dari sepakan penjuru selama 6 bulan lebih di antara gol Demichelis menentang Arsenal pada bulan September 2014 dan gol Fernandinho menentang Aston Villa di dalam bulan April 2015. Walaupun banyak mendapat sepakan penjuru, rutin sepakan penjuru City mudah dipatahkan lawan dan dalam beberapa situasi pihak lawan mampu melancarkan serangan kilas. Dalam pada mereka tumpul ketika memainkan bola mati, City lemah dalam menghadapi rutin bola mati pihak lawan dan tampak tertekan mempertahankan gawang.



4. Udara

Hasil daripada kelemahan permainan sayap dan bola mati City, hanya 5 gol dijaringkan melalui tandukan pada musim lalu. Namun terdapat satu lagi jurang dalam permainan udara Manchester City iaitu di bahagian pertahanan. Barisan pertahanan City musim lepas tampak kurang selesa menangani bola tinggi pihak lawan. Jika berjaya memenangi bola udara pun bola akan kembali kepada penguasaan pihak lawan. Antara perlawanan yang jelas mempamerkan kelemahan City ini ialah dalam perlawanan menentang Burnley dan CSKA Moscow.

5. Bintang Malap

Sememangnya membimbangkan apabila pemain terbaik anda mempamerkan prestasi terburuk. Kompany gagal di bahagian pertahanan, Toure gagal di bahagian tengah sedangkan 2 nama ini adalah antara yang pertama disenaraikan dalam kesebelasan utama. Di sini terdedah kelemahan City yang terlalu bergantung kepada beberapa pemain dan tidak melakukan rotasi pemain. Musim ini diharap City mula mengamalkan rotasi pemain yang lebih sihat supaya prestasi pasukan lebih konsisten dan menyukarkan pihak lawan membaca rentak taktik pasukan.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.