Jumaat, 9 Disember 2016

2 Jenis Penjaga Gol Dalam Dunia Bolasepak


Frans Hoek, satu nama yang tidak asing di dalam dunia penjaga gol bolasepak. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih di bawah mendiang Johan Cruyff, pendekatan dan kaedah Hoek telah merevolusi dunia penjaga gol sepertimana Cruyff merevolusi dunia bolasepak.

Menurut Hoek daripada spektrum penilaian yang telah beliau gunakan selama menjadi jurulatih boleh dirumuskan bahawa di dalam dunia bolasepak terdapat 2 jenis penjaga gol yang berbeza. Di satu penghujung spektrum ialah Jenis 'R' (Reaction) manakala di penghujung bertentangan ialah Jenis 'A' (Anticipation).


Cara permainan kedua-dua jenis penjaga gol ini sangat berbeza dan adalah penting untuk para pengurus mengenalpasti jenis penjaga gol yang mereka miliki supaya sesuai dengan gaya permainan yang mahu mereka mainkan.

Jenis 'R':

  • Penjaga gol tradisional
  • Fizikal yang kuat
  • Hebat menampan percubaan gol
  • Lemah membaca situasi 1 lawan 1
  • Gemar mara menyerang bola di kaki lawan
  • Reaksi yang hebat kerana keupayaan refleks yang tinggi
  • Sepakan gol jauh
  • Tidak selesa menerima hantaran ke belakang

Jenis 'A':

  • Selesa meninggalkan gol dan menyertai gerakan pasukan
  • Fizikal yang atletik
  • Tidak sehebat jenis 'R' dalam menangani percubaan gol
  • Hebat membaca pertarungan 1 lawan 1
  • Menutup ruang lawan sambil menunggu masa paling tepat untuk bertindak
  • Bijak membaca permainan dan mengatur pertahanan untuk menutup ruang lawan
  • Sepakan gol pendek
  • Selesa menerima hantaran ke belakang

Menggunakan jenis penjaga gol yang tidak bersesuaian dengan gaya permainan memberi kesan kepada prestasi pasukan secara am dan penjaga gol secara khusus.

Hoek memberi contoh klasik penggunaan Edwin van der Sar oleh pasukan Juventus. Van der Sar adalah seorang penjaga gol bercirikan jenis 'A' dilihat gagal menyinar bersama kelab Turin itu sebelum dilepaskan selepas hanya 2 musim. Manakala apabila bersama Manchester United Van der Sar berjaya mempamerkan kelebihan sebenar beliau sebagai antara penjaga gol terbaik dunia.



Vitor Baia pula adalah contoh penjaga gol jenis 'R' yang berjaya menyinar di bawah kendalian mendiang Bobby Robson namun bergelut mencari sentuhan apabila Louis van Gaal mengambil alih Barcelona.


Setiap penjaga gol itu tidak semestinya memiliki kesemua ciri-ciri tipikal jenis 'R' atau jenis 'A' tetapi pemahaman tentang kecenderungan seseorang penjaga gol itu mampu menjelaskan mengapa Pep Guardiola lebih rela melepaskan Joe Hart berbanding Willy Caballero daripada skuad Manchester City apabila membawa masuk Claudio Bravo. Hart adalah contoh tipikal penjaga gol jenis 'R' yang hebat, Bravo pula antara jenis 'A' terbaik dunia manakala Caballero pula berada di tengah-tengah spektrum 'R' dan 'A' namun sederhana dalam keupayaan teknikal kedua-dua jenis.

Contoh-contoh penjaga gol cenderung jenis 'R': Oliver Kahn, Joe Hart, Vitor Baia, Petr Cech, Peter Schmeichel.

Contoh-contoh penjaga gol cenderung jenis 'A': Claudio Bravo, David de Gea, Victor Valdes, Edwin van der Sar, Fabien Barthez.

Contoh-contoh penjaga gol hibrid: Gianluigi Buffon, Iker Casillas, Manuel Neuer.

Penjaga gol jenis 'A' ini agak sukar dinilai kerana kehebatan menjaga gawang mereka tersembunyi di sebalik keupayaan mereka membaca permainan dan penglibatan mereka dalam gerakan pasukan berbanding penjaga gol jenis 'R' yang sering mempamerkan aksi hebat menyelamatkan gawang. Akhirnya ia terserah kepada pengurus pasukan untuk memilih penjaga gol yang menepati gaya permainan bolasepak yang beliau hajati.

- Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.