Prestasi Claudio Bravo yang sering bocor di gawang Manchester City sudah mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan peminat City. Kalau boleh mereka mahukan Joe Hart dibawa kembali dari Itali. Memandangkan hal itu hampir pasti tidak akan terjadi dilemparkan pula idea meletakkan Willy Caballero atau Angus Gunn bermain sebagai penjaga gol. Namun idea paling tidak masuk akal ialah ramai yang mahu City memanggil semula Geronimo Rulli yang sedang dipinjamkan ke Real Sociedad.
Kenapa idea memanggil semula Rulli itu tak masuk akal? Kerana ramai peminat tidak sedar pada fakta Rulli itu bukan City yang punya. Terkejut? Mari kita kaji dan rungkai misteri transaksi Rulli.
Salah faham 1: Adakah City membeli Rulli daripada Real Sociedad? Tidak, City tidak membeli Rulli dari Real Sociedad kerana Rulli hanyalah pemain pinjaman dari sebuah kelab Uruguay, Deportivo Maldonado.
Salah faham 2: Adakah Rulli dimiliki Deportivo Maldonado? Separa benar, kerana sebenarnya Rulli dimiliki oleh sebuah firma pelaburan di mana City berkepentingan besar.
Jalan cerita transaksi kompleks Rulli:
- Rulli dibeli oleh Deportivo Maldonado dari Estudiantes namun pemilikan sebenar Rulli adalah di bawah firma pelaburan yang merupakan pemilik Deportivo Maldonado.
- Selama 2 musim Rulli dipinjamkan kepada Real Sociedad.
- Manchester City mahu membeli Rulli dari Deportivo Maldonado tetapi Rulli tidak bersetuju dan lebih rela berpindah ke Real Sociedad.
- Real Sociedad mahu membeli Rulli dari Deportivo Maldonado tetapi tidak berdaya kerana City sebenarnya memiliki hak pilihan pertama (first option) daripada pemilik sebenar Rulli, sebuah firma pelaburan peribadi yang mempunyai pertalian kuat dengan City.
- Cinta tarik tali tiga segi ini seperti sudah selesai apabila Deportivo Maldonado menjual Rulli kepada City pada harga £4 juta yang kemudiannya meminjamkan Rulli kepada Real Sociedad.
- Real Sociedad meneruskan hasrat untuk memiliki Rulli dan tampil dengan tawaran baru kepada City.
- Real Sociedad dan City akhirnya berjaya mencapai persetujuan memeterai perpindahan Rulli yang akan berlangsung pada bulan Januari 2017 nanti pada harga £5.95 juta.
Syarat-syarat perpindahan Rulli:
- Rulli akan berpindah milik dari City ke Real Sociedad pada Januari 2017 bersama kontrak sehingga 2022.
- City boleh mengaktifkan klausa beli-semula Rulli sehingga tahun 2018 pada harga £11.6 juta.
- Rulli bakal mempunyai klausa pelepasan sebanyak £33.4 juta.
- Jika Rulli berpindah dalam tempoh kontrak bersama Real Sociedad, City akan memperoleh 30% daripada jumlah transaksi perpindahan (70% kepada Real Sociedad).
- Bulan Biru