Kali terakhir Manchester City memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris di laman sendiri adalah pada 17 September 2016 apabila membenam Bournemouth 4-0. Semenjak itu bermulalah kemarau dan kempunan menang City di Stadium Etihad yang melangkau bulan Oktober dan November sehinggalah akhirnya City dapat mengecap semula kemenangan dengan menewaskan Watford 2-0.
Perubahan paling ketara yang dapat dilihat dalam perlawanan itu ialah bagaimana sepanjang perlawanan City bermain dengan menekan secara tinggi dan intensif. Sepanjang perlawanan pemain City tidak berhenti mengejar bola, menekan lawan dan menutup ruang sebaik sahaja kehilangan bola kepada Watford. Bayangkan Yaya Toure yang sebelum ini sering dikritik kerana malas bertahan menunjukkan kerajinan luar biasa mengejar lawan dan Nolito juga turun ke bawah membantu pasukan melakukan tekanan.
Sebelum ini aspek menekan lawan ini tersirna dalam permainan City yang melihat barisan pertahanan mereka terdedah dan begitu mudah ditembusi. Bandingkan sahaja corak bentesan yang dilakukan City dalam perlawanan menentang Watford dengan ketika bertemu Leicester. Pemain City membuat bentesan jauh di kawasan Watford. 22 bentesan berjaya dilakukan berbanding hanya 7 hujung minggu lalu.
Lihat juga corak memintas bola dan merampas posesi yang dilakukan City semalam. Inilah hasil daripada permainan menekan tinggi City.
Bila pasukan menekan tinggi bola lebih banyak dikuasai jentera tengah dan ini mengurangkan beban kepada barisan pertahanan. Lihat statistik hantaran menentang Watford di mana pemain tengah berjaya mengawal perlawanan berbanding semasa menentang Leicester.
Permainan menekan secara tinggi dan intensif ini adalah kunci jika Pep Guardiola mahu berjaya di Liga Perdana Inggeris yang memang terkenal dengan permainan pantas dan kompetitif. Jika diteruskan dalam perlawanan seterusnya tidak mustahil City akan menemui semula rentak mereka seperti di awal musim.
- Bulan Biru