Kita sudah terbiasa mendengar dan membaca istilah 'full back' dan 'centre half' dalam ulasan bolasepak. 'Full back' merujuk kepada pemain bek kiri dan kanan manakala 'centre half' pula untuk pemain bek tengah. Persoalannya ialah mengapa pemain bek kiri dan kanan di gelar 'bek penuh' tetapi bek tengah hanya mendapat gelaran 'separuh'?
Untuk mencari jawapan tersebut kita perlu kembali ke tahun 1877 di mana formasi 2-3-5 bermula. Seperti di dalam artikel Ada Apa Dengan Nombor Dan Posisi? formasi 2-3-5 ini adalah antara formasi asas terawal bolasepak dan begitu signifikan sekali dalam sejarah sukan itu kerana dari formasi inilah bermulanya penggunaan nombor dalam bolasepak.
Dalam formasi 2-3-5, 2 pemain pertahanan dinamakan sebagai 'fullback' dan 3 pemain tengah dipanggil sebagai 'halfback'
Pada 1925 dunia bolasepak diperkenalkan kepada formasi W-M oleh pengurus Arsenal, Herbert Chapman. Dalam formasi ini, pemain centre halfback ditarik ke bahagian pertahanan untuk membentuk barisan 3 pemain pertahanan bersama 2 fullback asal.
Walaupun pemain centre halfback itu kini bermain sepenuhnya sebagai pemain pertahanan, pihak media Inggeris di waktu itu tetap menggunakan istilah centre halfback atau singkatnya centre half bila merujuk kepada pemain tersebut.
Amalan panggilan ini terus terbawa-bawa dan diwarisi sehingga ke hari ini walaupun formasi bolasepak sudah berevolusi kepada 4 pemain pertahanan. Hatta kalau 5 pemain pertahanan digunakan sekalipun 2 pemain bek kiri dan kanan akan tetap bergelar sebagai 'full back' dan 3 pemain bek di bahagian sentral pula akan terus dirujuk sebagai 'centre half'.
- Bulan Biru