Mengapa Claudio Bravo begitu diminati oleh Pep Guardiola? Penjaga gol Chile itu sedang dihentam hebat oleh peminat yang melihat gawang City mudah dibolosi. Untuk mendapat jawapan itu kita perlu berbalik kepada falsafah bolasepak Guardiola. Di bawah tunjuk ajar mendiang Johan Cruyff, Guardiola faham bahawa untuk melaksanakan falsafahnya beliau memerlukan seorang penjaga gol yang sangat selesa dengan bola berada di kaki, memiliki kawalan bola yang baik dan bijak mengagih bola.
Berdasarkan statistik atas kertas Claudio Bravo adalah pilihan paling tepat untuk memenuhi citarasa Guardiola. Lihat sahaja statistik hantaran tepat yang dilakukan oleh Bravo.
Jadi adakah Guardiola memilih Bravo berdasarkan angka semata-mata? Jawapannya tidak. Sebaliknya Bravo dipilih disebabkan kerana beliau boleh dikira orang yang paling memahami falsafah bolasepak yang mahu direalisasikan Guardiola.
Di samping konsep mengawal posesi (Cruyff) dan menekan lawan (Bielsa), Guardiola juga mahukan konsep 'membina dari belakang' dilaksanakan dalam permainan pasukan beliau. Orang yang memperkenalkan konsep ini kepada Guardiola ialah mentor beliau, Juan Manuel Lillo. Mungkin nama Lillo ini kurang dikenali ramai tetapi pengaruh Lillo adalah sama kuatnya dengan pengaruh Cruyff dan Bielsa dalam pembentukan falsafah bolasepak Guardiola. Sentuhan Cruyff dalam serangan, sentuhan Bielsa dalam pertahanan manakala sentuhan Lillo dalam gerakan.
Salir Jugando
Konsep 'membina dari belakang' ini digelar sebagai Salir Jugando di Sepanyol di mana penjaga gol tidak akan membuat tendangan jauh ke bahagian lawan sebaliknya membuat hantaran pendek kepada pemain pertahanan dan gerakan dimulakan dari belakang. Idea Salir Jugando sebenarnya berasal dari Mexico dan diperkenalkan oleh Ricardo La Volpe.
Dalam idea asal, La Volpe menggunakan formasi 3-5-2 untuk melaksanakan Salir Jugando. Kemudian Lillo yang merupakan 'bapa' formasi 4-2-3-1 berjaya mengadaptasi idea itu dalam formasi 4 pemain pertahanan melalui gerakan bijak yang kini sinonim dengan gaya permainan pasukan Guardiola. Bandingkan pelaksanaan Salir Jugando dalam gerakan konvesional dan gerakan Lillo.
Dalam gerakan konvesional pasukan akan kehilangan kelebihan angka di bahagian tengah, tidak seperti jika menggunakan formasi 3-5-2 |
Ini membolehkan pasukan memiliki kelebihan angka di bahagian tengah dan memudahkan pasukan mengawal posesi |
Berbalik kepada soalan mengapa Claudio Bravo begitu penting untuk pelaksanaan Salir Jugando ini kita perlu melihat sejarah karier Bravo. Bravo tidak asing kepada konsep Salir Jugando kerana beliau sendiri ialah bekas anak didik kepada Lillo semasa bermain bersama Real Sociedad. Lillo adalah orang yang bertanggungjawab menaikkan Bravo menjadi penjaga gol utama Real Sociedad pada musim 2008/09 yang melihat Bravo dianugerahkan Trofi Zamora.
Lillo bukanlah satu-satunya pertalian di antara Bravo dan Guardiola. Semenjak berusia 13 tahun, Bravo mendapat tunjuk ajar daripada Julio Rodriguez yang membawa didikan Frans Hoek, seorang legenda dalam dunia membimbing penjaga gol dan merupakan salah seorang jurulatih semasa Cruyff mengurus Ajax Amsterdam.
Jadi tidak hairanlah mengapa Guardiola begitu beria mahukan Bravo bersama beliau di Manchester City.
- Bulan Biru