Manchester City menilai pemain berusia 16 tahun, Ryan Sessegnon sudah layak untuk bermain di tahap Liga Perdana Inggeris dan bersedia memenuhi harga permintaan sebanyak £8 juta untuk pemain tersebut.
Ryan Sessegnon kini bermain untuk kelab Fulham dan sudah pun membuat 11 kemunculan di bawah telunjuk Slavisa Jokanovic. Malah beliau turut mencatat nama sebagai antara pemain termuda menjaringkan gol dalam sejarah Piala FA Inggeris semasa menentang Cardiff City.
Bekas pemain Liverpool, Jamie Redknapp telah melabel Ryan Sessegnon sebagai 'Ashley Cole yang baharu' selepas menyaksikan aksi pemain kelahiran Wandsworth itu.
Tottenham Hotspur cuba mendapatkan Ryan di jendela Januari lalu dan dilaporkan Fulham meminta £8 juta untuk pemain tersebut. Pada harga itu, City dengan hati terbuka rela membayar jumlah tersebut untuk mendapatkan seorang lagi bakat besar England.
Tambahan pula Ryan bermain di posisi bek kiri yang merupakan masalah di dalam skuad City buat masa ini dan berdasarkan penilaian semasa, beliau cukup fleksibel untuk bermain lebih menyerang di sayap kiri.
Buat pengetahuan, Ryan mempunyai seorang saudara kembar, Steven yang juga bermain bersama Fulham di bahagian pertahanan.
Ryan (kiri) dan Steven (kanan) |