Manchester City menghasilkan drama mendebarkan apabila membenarkan Swansea menyamakan kedudukan dalam 10 minit terakhir perlawanan sebelum Gabriel Jesus tampil menjadi penyelamat di waktu kecederaan dengan gol kemenangan.
Tiada siapa yang dapat menjangka aksi yang mendebarkan di separuh masa kedua lebih-lebih lagi dengan penguasaan yang ditonjolkan City di separuh awal. Pendominasian secara total ialah rumusan yang paling tepat tentang bagaimana separuh masa pertama berlangsung. Swansea tidak diberi sebarang ruang menembusi kawasan City. Willy Caballero terpaksa menunggu sehingga minit ke-24 untuk menyentuh bola buat kali pertama dan sepanjang 45 minit pertama tidak diuji dengan sebarang percubaan lawan.
City pula bertali arus menyerang gawang Swansea. Jesus meneruskan permulaan memberansangkan di Liga Perdana Inggeris dengan menjaringkan gol pembukaan di minit ke-11. Leroy Sane mengganas di sayap kiri membuat larian dan menggelecek lawan. Yaya Toure dan Aleksandar Kolarov pula menjadi pasak mengatur gerakan pasukan dari bahagian bawah.
Cerita yang sama dijangkakan di separuh kedua tetapi ianya tidak terjadi. Sebaliknya Swansea mula mengorak langkah agresif. Percubaan tepat pertama Swansea dilakukan seawal minit ke-48 apabila Gylfi Sigurdsson menduga Caballero dengan satu sepakan bebas yang berjaya ditampan kemas penjaga gol Argentina itu. Peratusan posesi City merudum 11% daripada 74.4% di separuh pertama kepada 63.4% di separuh kedua.
Sumber: Whoscored.com |
Lepaskan pendikit minyak
Perubahan paling ketara dalam permainan City di separuh kedua ialah tahap kesungguhan para pemain menekan lawan. Di separuh pertama City mengamalkan permainan menekan tinggi tidak memberi Swansea sebarang ruang untuk bernafas apabila mereka memegang bola. Pemain City juga di separuh pertama begitu rajin mengejar dan memintas bola untuk mendapatkan posesi. Cukup berbeza dengan separuh kedua apabila City kelihatan bermain lebih bersahaja.
City memenangi bola jauh di dalam kawasan Swansea di separuh pertama |
Corak pintasan bola City di separuh pertama dan kedua |
Ini menjemput Swansea untuk bermain ke dalam bahagian City dan peluang mula terbuka. Kesannya pertahanan City terpaksa melakukan lebih banyak bentesan di separuh kedua perlawanan. Hampir sekali ganda berbanding separuh pertama.
Perbezaan permainan di antara dua separuh ini mengingatkan kepada perlawanan menentang Middlesbrough yang berkesudahan 1-1. Malahan ianya hampir-hampir menjadi kenyataan apabila Sigurdsson melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang berjaya menewaskan Caballero pada minit ke-81.
Dua mata berharga seakan-akan semakin terlepas dari genggaman. Kerugian besar buat City apatah lagi di kala Arsenal dan Liverpool tertewas kepada lawan masing-masing.
City yang tidak agresif selepas rehat separuh masa kedua gagal membuat sebarang percubaan tepat di separuh kedua sehinggalah di saat-saat genting Jesus melonjak tinggi untuk menanduk bola hantaran David Silva. Tandukan padu Jesus gagal didakap kemas Lukasz Fabianski yang kemudian hanya mampu pasrah melihat Jesus menolak bola muntah ke dalam gawang yang terhidang.
Kemenangan akhirnya menjadi milik City semula untuk mereka menduduki tangga ketiga liga dan mengekalkan jarak 10 mata dengan Chelsea. Hubungan drama dan City tidak akan pernah tamat. Mujurlah kali ini ada Jesus jadi penyelamat.