Rabu, 8 Februari 2017

Bosman - Nama Yang Merubah Lanskap Bolasepak

Jean Marc Bosman bukanlah pemain yang ternama namun selepas 1995 nama beliau telah membawa perubahan besar kepada sistem perpindahan bolasepak Eropah iaitu Peraturan Bosman.

Bosman menjalani sebahagian besar kariernya sebagai pemain bolasepak profesional di kelab Standard Liege di antara tahun 1983 hingga 1988 sebelum berpindah ke RFC Liege.


Bosman tidak banyak beraksi bersama RFC Liege dan mahu berpindah ke kelab Perancis, Dunkerque apabila kontraknya tamat bersama kelab Belgium itu pada 1990. Walaubagaimanapun RFC Liege tidak mahu melepaskan Bosman ke Dunkerque selagi tuntutan harga perpindahan mereka tidak dipenuhi. Lebih menyeksakan gaji Bosman kemudian dipotong sebanyak 75%.

Melihat ketidakadilan terhadap beliau dan para pemain lain, Bosman bertindak menyaman RFC Liege, pihak FA Belgium dan pihak UEFA kerana menghalang perpindahan pekerja. Bosman menggunakan Perjanjian Fungsi Kesatuan Eropah (EU) sebagai hujah yang pemain bolasepak mempunyai hak sepertimana pekerja EU yang lain untuk berpindah di kalangan negara EU.


Keputusan terawal mahkamah Belgium pada 1990 memutuskan Bosman boleh berpindah dari RFC Liege secara percuma namun keputusan itu dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 1991 juga memutuskan yang Bosman berhak untuk berpindah tanpa halangan sambil RFC Liege dan FA Belgium perlu membayar pampasan kepada Bosman.

Pada 1995, RFC Liege dan FA Belgium masih tidak berpuas hati dan cuba membuat rayuan kepada UEFA namun gagal. Ini disusuli Bosman membuka saman baharu terhadap RFC Liege dan FA Belgium di Mahkamah Keadilan EU.

Selepas perbicaraan berlangsung selama 6 bulan akhirnya pada 15 Disember 1995, mahkamah EU memutuskan yang sistem perlembagaan bolasepak FA Belgium telah melanggar hak kebebasan pekerja di dalam perjanjian EU dan menyatakan yang para pemain EU boleh berpindah ke mana-mana kelab selepas kontrak mereka tamat tanpa sebarang bayaran diperlukan asalkan kelab destinasi itu juga berada di kalangan negara EU.

Maka lahirlah Peraturan Bosman yang membolehkan pemain berpindah secara percuma selepas tamat kontrak atau menandatangan pra-kontrak bila tempoh kontrak mereka berbaki kurang dari 6 bulan menjadikan bulan Januari hingga Jun sebagai jendela memburu pemain 'ejen bebas' lebih-lebih lagi mereka yang bertaraf dunia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.