Perpindahan Luis Figo dikira sebagai antara perpindahan paling kontroversi dalam sejarah bolasepak era moden kerana ia melibatkan seteru utama di kancah La Liga iaitu Barcelona dan Real Madrid. Dari menjadi simbol kebanggaan Barca, Figo berubah menjadi objek paling dibenci para peminat.
Semuanya bermula dalam kempen perlumbaan pilihan raya presiden Real Madrid di antara Lorenzo Sanz dan Fiorentino Perez. Sanz dilihat hampir pasti akan diundi semula sebagai presiden kerana berjaya membawa kejayaan dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah ke Madrid.
Namun Perez mempunyai agenda rahsia. Perez menjanjikan yang Luis Figo akan dibawa ke kota Madrid dari kota Barcelona jika beliau diundi sebagai presiden. Satu perjanjian sulit ditawarkan kepada Figo oleh Perez. Figo akan mendapat habuan £1.6 juta untuk bersetuju menandatangan kontrak bersama Real Madrid bila Perez memenangi jawatan presiden. Namun jika Perez gagal dalam proses pilihan raya maka Figo boleh menyimpan duit tersebut.
Apabila cerita tentang kontrak itu bocor ke pengetahuan umum, Figo segera menafikan perkara tersebut sambil menyangka beliau masih boleh kekal di Barcelona. Namun Figo sebenarnya sudah terperangkap. Di dalam kontrak itu termaktub klausa yang menyatakan Figo perlu membayar pampasan sebanyak £19 juta andai Figo tidak mahu berpindah ke Real Madrid bila Perez menjadi presiden.
Atas sebab klausa inilah Perez berani membuat janji kepada peminat berdaftar Real Madrid yang mereka boleh menghadiri perlawanan di Bernabeu secara percuma selama satu musim jika beliau gagal membeli Figo. Pada awalnya pihak Figo tidak begitu risau kerana kebarangkalian untuk Perez memenangi pilihan raya presiden adalah sangat tipis. Namun akhirnya ia menjadi kenyataan, Fiorentino Perez adalah presiden terbaru Real Madrid dan Figo perlu membayar pampasan jika mahu kekal di Barcelona.
Presiden baru Barcelona di waktu itu, Joan Gaspart berpeluang menyelamatkan Figo dengan membayar pampasan tersebut bagi pihak Figo. Namun itu bererti Barcelona terpaksa membayar Real Madrid untuk pemain mereka sendiri dengan jumlah yang pada waktu itu merupakan kelima tertinggi dalam sejarah mereka. Ianya sangat memalukan dan menjatuhkan maruah Barcelona dengan Gaspart berkata, "Saya tak mampu melakukannya. Saya akan (seperti) membayar tiket bagi pihak peminat Real Madrid, saya akan mati."
Maka Luis Figo pun dilepaskan untuk dipertontonkan sebagai pemain Real Madrid dengan jersi beliau diberikan oleh Alfredo Di Stefano, seorang lagi pemain yang pernah 'dicuri' Real Madrid dari genggaman Barcelona. (Sumber: uMAXit Football)