Jumaat, 10 Februari 2017

Reviu Skuad Separuh Musim 2016/17


Di awal musim 2016/17 ada pihak menjangkakan Pep Guardiola akan membawa perubahan drastik kepada permainan Manchester City dan City dengan cara bersahaja boleh merangkul semua gelaran yang tersedia. Buat sementara waktu seperti itu jalan ceritanya apabila City menang 10 perlawanan awal musim mereka. Namun bolasepak Inggeris ini berbeza cabarannya dan Guardiola mulai sedar ianya lebih sukar dari yang disangka. Bukan mudah untuk mengubah permainan Manchester City yang belum pernah terdedah dengan falsafah bolasepak Cruyff seperti Barcelona (melalui Johan Cryuff sendiri) dan Bayern Munich (melalui Louis Van Gaal). Oleh itu tidak menghairankan jika para pemain City mengalami kejutan dengan gaya permainan yang dibawa Guardiola.


Claudio Bravo (5/10) – Bravo dibawa masuk supaya Guardiola boleh melaksanakan gaya ‘bermain dari bawah’ atau dikenali sebagai Salir Jugando. Tenang bila bola berada di kaki namun kualiti menjaga gawang beliau sering dipersoal. Tidak popular di kalangan peminat tegar Joe Hart.

Willy Caballero (6/10) – Caballero adalah penjaga gol yang lebih konvensional namun cukup fleksibel untuk melaksanakan permainan yang Guardiola mahukan. Timbalan penjaga gol yang sangat boleh diharap.


Bacary Sagna (7/10) – Sagna mempamerkan persembahan yang agak konsisten sepanjang musim di bahagian bek kanan. Berbahaya apabila naik ke atas kerana bagus dalam membuat hantaran lintang.

Pablo Zabaleta (6/10) – Zabaleta terpaksa bergelut dengan kecederaan buku lali yang menjejaskan prestasi beliau. Agak lemah apabila berdepan dengan lawan yang pantas namun semangat juang menjadikan beliau wira kesukaan ramai. Perubahan posisi mungkin membuka harapan baharu.

Aleksandar Kolarov (6/10) – Anda boleh menyukai Kolarov atau membencinya. Memiliki kualiti hantaran yang bagus namun sayang kualiti sebagai pemain pertahanan Kolarov tidak konsisten. Kelemahan dari segi kepantasan sering terdedah apabila pasukan lawan melakukan serangan balas.

Gael Clichy (6/10) – Clichy tidak banyak membawa ancaman kepada pihak lawan apabila beliau naik ke atas membantu serangan. Pemain bek kiri yang lebih bagus daripada Kolarov dari segi kualiti bertahan.

Nicolas Otamendi (7/10) – Ketiadaan Kompany menjadikan Otamendi tunjang utama di barisan pertahanan. Gaya menerjah keras beliau banyak menyelamatkan keadaan tetapi mungkin beliau perlu lebih tenang sedikit.

John Stones (6/10) – Selain beberapa kesilapan yang dilakukan Stones (nota: Leicester City) dan seolah-olah Guardiola lebih mempercayai Kolarov di pertahanan tengah, Stones menunjukkan kematangan untuk bermain di peringkat tertinggi dan membuktikan potensi yang dimiliki beliau sebagai pertahanan termahal England.


Vincent Kompany (Tiada markah) – Kecederaan terus membelenggu kapten Manchester City ini. Diharap bahagian kedua musim ini membawa cerita yang berbeza.

Fabian Delph (Tiada markah) –  Seorang lagi pemain yang bergelut dengan kecederaan sepanjang separuh pertama musim.


Fernandinho (8/10) – Fernandinho yang serba-boleh bermain di mana-mana posisi meneruskan aksi konsisten dari musim lepas menjadi tunjang utama di bahagian tengah. Cuma kebelakangan ini isu disiplin beliau menjadi kebimbangan.

Fernando (6/10) – Fernando lebih banyak digunakan untuk mematikan perlawanan atau jika berdepan lawan yang kuat.


Yaya Toure (8/10) – Krisis di awal musim hampir melihat Yaya Toure tidak beraksi di bawah Guardiola namun selepas diselesaikan secara baik beliau menunjukkan bahawa beliau masih lagi antara pemain tengah terbaik dunia.


David Silva (9/10) – Silva meneruskan sentuhan ajaibnya seperti semenjak kali pertama menyarung jersi City menjadi sumber kreativiti di bahagian tengah.

Ilkay Gundogan (7/10) – Apabila cergas untuk beraksi Gundogan menunjukkan kualiti di atas padang dan mengapa City rela membayar harga tinggi untuk seorang pemain yang sedang cedera. Agak malang beliau terpaksa melepaskan hasrat untuk beraksi di baki musim ini.

Jesus Navas (6/10) – Kepantasan memang menjadi aset utama Navas dari dahulu. Namun kualiti bola akhir Navas terus didambakan para peminat.


Kevin De Bruyne (9/10) – Cukup kreatif untuk mencipta peluang dan cukup berbahaya untuk menyudahkan peluang yang terhidang. De Bruyne terlibat dalam 14 gol City setakat musim ini.


Raheem Sterling (8/10) – Sterling seperti dilahirkan semula sebagai pemain baharu di bawah Guardiola. Tampak lebih yakin berbanding musim lepas. Potensi besar beliau mungkin boleh dipenuhi jika terus begini.

Nolito (6/10) – Nolito bermula dengan baik di awal musim dengan kebolehan bermain sebagai pemain sayap ataupun penyerang tengah. Perlu menjaga baran di atas padang.


Leroy Sane (7/10) – Sane tidak banyak berpeluang menunjukkan kehebatan di atas padang ditambah pula sering tercedera. Jika prestasi menentang Arsenal dijadikan ukuran maka Sane boleh menjadi pemain utama City tidak lama lagi.

Kelechi Iheanacho (6/10) – Penjaring gol paling prolifik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris ini beraksi lebih baik bila bermula sebagai pemain simpanan berbanding jika turun dalam kesebelasan utama.


Sergio Aguero (8/10) – Dengan 154 gol dan menduduki tangga ketiga senarai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Manchester City, kualiti Aguero tidak perlu dipertikaikan lagi. Apa yang diperlukan ialah persembahan yang lebih konsisten daripada ayam tambatan City ini.


Persembahan terburuk pasukan – Tewas 4-2 kepada Leicester City dengan ketinggalan 3-0 dalam 20 minit pertama. Terlalu longgar di bahagian pertahanan dan terlalu tumpul di bahagian depan. City nampak kebingungan sepanjang perlawanan.


Persembahan terbaik pasukan – Bangkit ketinggalan 1-0 untuk menewaskan Barcelona 3-1 sekali gus menghidupkan semula peluang City dalam kempen Liga Juara-Juara UEFA. City mengubah pendekatan mereka bermain lebih langsung, lebih agresif dan melakukan counter-pressing untuk mencapai kemenangan sulung ke atas pasukan Sepanyol itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.