Selasa, 14 Februari 2017

Zon Analisis - Silva Dan De Bruyne Terlalu Bebas

(Sumber: Getty Images)
Manchester City memanjat ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris dan merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Chelsea kepada 8 mata selepas menang 2-0 ke atas AFC Bournemouth di Stadium Vitality.

Walaupun Gabriel Jesus terpaksa dibawa keluar seawal minit ke-15, agak malang buat Bournemouth kerana pengganti pemain Brazil itu ialah Sergio Aguero. 

Permainan berlangsung agak seimbang dengan City bahaya memegang posesi manakala Bournemouth pula berjaya mengekang kemaraan City dengan menekan tinggi. Pemain Bournemouth dilihat banyak membuat rampasan bola di kawasan sentral Manchester City.

(Sumber: Statszone) 
Tekanan Bournemouth hampir membuahkan hasil di minit ke-19 apabila Jordon Ibe berjaya meloloskan diri ke dalam kotak penalti selepas bergandingan dengan Jack Wilshere namun kepantasan Caballero untuk mara keluar berjaya menidakkan peluang Bournemouth.

(Sumber: Reuters)
Sepuluh minit kemudian City memecahkan kebuntuan melalui jaringan gol Raheem Sterling. David Silva diberikan terlalu banyak ruang di sayap kiri sebelum membuat hantaran lintang. Walaupun pertahanan Bournemouth cuba menampan tetapi lantunan bola terlalu mudah untuk disudahkan Sterling untuk gol ketujuh beliau ke atas Bournemouth. Lima daripadanya bersama City.

(Sumber: Reuters)
Bournemouth menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan sejurus sepakan semula menerusi Joshua King namun mujur pengadil perlawanan sempat mengesan insiden King menarik John Stones sebelum menjaringkan gol.

Di sebalik permainan menekan tinggi Bournemouth, mereka telah meninggalkan terlalu banyak ruang kepada Kevin De Bruyne dan David Silva. Jordon Ibe dan Ryan Fraser tidak membuat larian ke bawah untuk membantu barisan pertahanan memberi kebebasan kepada Silva dan De Bruyne meneroka bahagian tengah. Lihat sahaja bagaimana Silva dan De Bruyne menguasai statistik hantaran berjaya sepanjang perlawanan.

(Sumber: Statszone)
Dengan Leroy Sane dan Raheem Sterling bermain lebar, De Bruyne dan Silva mengisi ruang separuh di lorong kiri dan kanan menyebabkan banyak situasi 2 lawan 1 ke atas pemain bek sisi Bournemouth. Ternyata kedua-dua gol City bermula dari sayap kiri.

Silva dan De Bruyne bermaharajalela di bahagian lorong ruang separuh (Sumber: Whoscored.com)
Di minit ke-69, City mendapatkan gol kedua. Adam Smith berbelah bahagi di antara bertahan di kotak penalti atau mara ketepi untuk menutup ruang Sterling yang mendapat bola dari Fernandinho. Smith memilih untuk bertahan dalam kotak penalti dan ia terbukti satu kesilapan kerana Sterling yang mendapat terlalu banyak ruang untuk menggelecek mudah melepasi Smith yang tidak berani membuat bentesan sebab bimbang memberikan sepakan penalti kepada City.

(Sumber: Reuters)
Sterling membuat hantaran lintang ke hadapan gol Bournemouth sambil Aguero dan Tyrone Mings sama-sama menghulurkan kaki. Kaki Aguero berjaya sampai dahulu namun sentuhan terakhir datang dari kaki Mings yang menolak bola masuk ke dalam gawang sendiri.

Selesa di hadapan, City memperkasakan pertahanan dengan membawa masuk Nicolas Otamendi. Mungkin jaringan City boleh bertambah jika bukan palang gol menghampakan Sane. Perlawanan tamat dengan keputusan 2-0 yang sudah cukup menggembirakan para peminat City.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.