Jumaat, 24 Februari 2017

Zon Analisis - City Fokus Kejar Dari Belakang

Perlawanan yang menghiburkan, mengujakan, penuh kontroversi dan plot twist. Itulah gambaran ringkas yang boleh diberikan kepada perlawanan pusingan 16-terakhir pertama di antara Manchester City dan AS Monaco. Permainan menyerang memang sudah dijangka namun pesta 8 gol? Siapa sangka?


Ini merupakan pertemuan pertama di antara dua pasukan yang mendukung fahaman menyerang dan ternyata penonton disajikan dengan juadah serangan demi serangan. Memang ada kesilapan yang boleh dianalisis dari setiap 8 gol yang dijaringkan tetapi penghargaan harus diberikan kepada keindahan bolasepak menyerang kedua-dua pasukan.


Di suku jam pertama City lebih banyak memegang posesi bola (62%) namun Monaco dilihat lebih berbahaya. Ancaman utama mereka ialah kepantasan yang dimiliki pemain-pemain muda mereka Bernardo Silva, Thomas Lemar dan Kylian Mbappe. Mereka menumpukan titik serangan di bahagian bek kiri City yang diisi oleh Fernandinho.


City cuba bermain membina dari belakang manakala Monaco menekan tinggi untuk memaksa City melakukan kesilapan. Pada awalnya struktur pergerakan bola dari belakang City ialah rangkaian 2-3 tetapi tekanan kuat oleh Monaco memaksa City mengukuhkan struktur itu di suku jam kedua dengan rangkaian 3-3 dengan Yaya Toure turun membantu dua pertahanan tengah dan David Silva turun sedikit untuk menerima bola di bahagian tengah. Kesan besar dari penstrukturan ini ialah penguasaan bola City meningkat naik (73%) sehingga menjurus kepada gol pertama City yang dimulakan oleh gelecekan cantik Leroy Sane di sayap kiri yang kemudiannya membuat hantaran silang untuk Raheem Sterling membuka jaringan.


City mula tampak mengukuhkan tapak dalam perlawanan sebelum kesilapan di bahagian belakang mengundang padah. Hantaran lemah Willy Caballero gagal mencari Fernandinho sebaliknya memberi peluang kepada Monaco menyerang balas. Barisan pertahanan City yang tidak sempat bersedia meninggalkan Radamel Falcao bebas di dalam kotak penalti untuk menanduk hantaran Fabinho.


Kelekaan pertahanan City sekali lagi terhukum apabila dari satu sepakan bebas, Fabinho melepaskan Mbappe ke dalam kotak penalti yang meledakkan rembatan deras menewaskan Caballero untuk gol kedua Monaco. Falcao dan Mbappe dilihat bijak melakukan larian untuk gol ini. Sebelum Fabinho membuat tendangan, Falcao dikawal oleh Otamendi manakal Stones mengawal Mbappe namun sejurus sebelum sepakan diambil Falcao berlari menjauhi gol City menyebabkan Otamendi berbelah-bagi untuk mengekori Falcao atau kekal di zon kawalannya. Mbappe mengambil kesempatan ini untuk berlari di ruang di belakang Otamendi sambil Stones pula tidak mengekori larian Mbappe.


Namun sebelum itu ada insiden kontroversi apabila City ditidakkan satu sepakan penalti selepas Sergio Aguero yang jelas dijatuhkan Danijel Subasic dipersalahkan atas dakwaan berlakon. Dari kemungkinan mendahului 2-1 sebaliknya City memasuki waktu rehat ketinggalan 2-1.


Titik penting dalam perlawanan terjadi di awal separuh kedua apabila Caballero menebus kesalahan beliau dengan menjadi wira menyelamatkan sepakan penalti Falcao. Caballero tenang menunggu Falcao membuat tendangan dan berjaya membaca arah bola dengan tepat.


City mula mendapat keyakinan baru dan tidak lama kemudian menyamakan kedudukan 2-2. Sterling merampas bola di bahagian City memecut laju melancarkan serangan balas. Beliau kemudian melepaskan bola kepada Aguero yang terus membuat rembatan kencang ke gawang Monaco. Bola tepat menuju ke arah Subasic namun ternyata tenaga rembatan Aguero itu tidak tertampung oleh Subasic yang melakukan kesilapan melepaskan gol mudah.


Selepas Caballero, Otamendi dan Subasic, kini giliran John Stones pula membuat kesilapan yang membolehkan Monaco kembali mendahului jaringan. Dalam pergelutan mendapatkan bola bersama Falcao, Stones tidak mengambil inisiatif awal mengeluarkan bola dan selepas tewas dalam pertarungan fizikal cubaan Stones untuk membuat terjahan ternyata sudah terlewat. Falcao dengan segala pengalaman yang dimiliki dengan begitu tenang menjaringkan gol lambungan 'chip' melewati Caballero.


Ketinggalan 3-2 dan menyedari ancaman dari serangan pantas Monaco, Pep Guardiola membuat keputusan mengeluarkan Fernandinho dan membawa masuk Pablo Zabaleta. Posisi bek kiri kini diisi oleh Bacary Sagna. Pertukaran ini sedikit sebanyak berjaya memperkukuhkan pertahanan City. Selepas pertukaran pemain itu, ancaman dari bahagian sayap kanan Monaco berkurangan.

City tidak berputus asa mencari gol. Serangan demi serangan dilancarkan ke gawang Monaco. Usaha City tidak sia-sia apabila bukan sekadar mendapat satu tetapi dua gol dari sepakan penjuru.

Gol pertama dijaringkan Aguero yang membuat rembatan voli cantik langsung tidak memberi peluang kepada Subasic untuk bertindak. Berselang 6 minit, giliran Stones pula menebus dosa apabila menolak masuk sepakan penjuru Kevin De Bruyne untuk mengubah kedudukan 4-3 memihak kepada City.



Sebenarnya di 20 minit terakhir perlawanan pasukan Monaco dilihat mula kehilangan fokus. Ruang mula tercipta di celah-celah formasi Monaco. Mungkin sebabnya ialah pemain-pemain yang semakin penat setelah bermain pantas sebelum itu. City pula terus mengekalkan tahap fokus mereka dan terbukti dalam perlawanan ini mereka menang dari aspek mental.

Kemenangan City dilengkapkan pada minit ke-82 apabila Silva bijak mengesan ruang melepaskan Aguero ke dalam kotak penalti Monaco yang tanpa rasa tamak melorong bola kepada Sane untuk gol kelima City.


Pemain terbaik perlawanan selayaknya menjadi milik Aguero yang membuat sumbangan 2 gol dan 1 bantuan. Dalam perlawanan ini Aguero membuktikan kerajinan beliau dalam membantu pasukan mendapatkan penguasaan bola. Selain menyumbang kepada gol, Aguero turut membuat 8 perolehan bola dan 4 bentesan sempurna. Satu statistik yang mengagumkan bagi seorang penyerang dan sememangnya itulah yang dimahukan Guardiola. Ingat sahaja kata-kata Johan Cruyff, “Dalam pasukan saya, penjaga gol ialah penyerang pertama dan penyerang ialah pertahanan pertama”.


Pastinya perlawanan di Monaco nanti akan menyajikan satu lagi aksi mengujakan buat para penonton. Masakan tidak kerana Guardiola sentiasa berpegang kepada satu lagi kata-kata Cruyff, "Saya lebih gemar menang 5-4 dari 1-0".

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.