10 kemenangan berturut-turut, satu rekod baru tercipta di Etihad. Rekod 100% musim ini diteruskan dan gawang City masih kebal daripada dibolosi.
Perlawanan ini nampak mudah di atas kertas tetapi Pellegrini terpaksa membuat perubahan taktikal untuk memecahkan kekentalan pasukan Watford. Di separuh masa pertama keseluruhan pasukan Watford berkampung di bahagian sendiri menyempitkan sebarang ruang untuk City membuat gerakan. Daripada 8 percubaan City ke gawang Watford hanya 2 menepati sasaran.
Jesus Navas jelas terjejas dengan suasana permainan yang sempit. Pellegrini menukarkan beliau dengan Nasri di separuh kedua. Posisi 3 pemain tengah menyerang diubah dengan Silva bermula di bahagian kanan, Sterling di tengah dan Nasri bahagian kiri.
Seawal minit ke 2 separuh masa kedua nampaknya percaturan Pellegrini membuahkan hasil. Sterling berjaya menjaringkan gol BPL pertama beliau bersama City. Melepaskan diri daripada kawalan, Sterling mudah menyudahkan hantaran lintang Sagna.
Kombinasi segitiga Silva-Sterling-Nasri yang fleksibel bertukar posisi sesama sendiri menyukarkan pasukan Watford mengawal permainan. Tekanan diteruskan ke gawang Watford dan di minit ke-55 Fernandinho menggandakan jaringan City. Daripada sepakan bebas Toure yang terkena dinding pemain Watford, David Silva membuat umpanan cantik kepada Fernandinho yang meledakkan rembatan deras menewaskan Gomes buat kali kedua.
City terus menguasai majoriti permainan namun tiada gol tambahan selepas itu.
Fakta menarik perlawanan:
1. Buat pertama kali City tidak melepaskan gol dalam 4 perlawanan berturut-turut.
2. City adalah satu-satunya pasukan yang belum terbolos dalam BPL.
3. Perlawanan ini adalah perlawanan BPL yang ke-700 City. Rekod City, M:289 S:172 K:239 J:1032 B:845.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber: Mirror, Twitter