Manchester City terpaksa berhempas pulas di Selhurst Park sebelum akhirnya berjaya memecah dinding 'istana kristal' dan merampas 3 mata. Di saat Palace sudah bersedia untuk berkongsi mata bersama City, Iheanacho sang wira muda City tampil meranapkan harapan para peminat Palace dengan jaringan di saat akhir perlawanan.
Rekod kemenangan berturut-turut yang dipecahkan City ketika menentang Watford diteruskan lagi. Gawang Hart masih lagi suci dari ditembusi. Pencapaian hebat ini bukanlah mudah untuk diperoleh. Pasukan Palace terbukti bukanlah lawan yang mudah ditawan. Pellegrini terpaksa membuat rombakan taktikal selepas kehilangan beberapa pemain kunci kepada kecederaan. Tiada Raheem Sterling dan David Silva di bahagian tengah. Kevin De Bruyne dan Nicolas Otamendi pula dilihat belum sepenuhnya serasi dengan permainan City dan hanya diletakkan di bangku simpanan.
Fleksibiliti skuad City mendapat ujian. Setelah sekian lama, Pellegrini kembali kepada formasi 4-4-2 dengan meletakkan Aguero dan Bony di bahagian hadapan. Navas dan Nasri diberi tugas di bahagian sayap bersama Toure dan Fernandinho di tengah padang. Palace pula menumpukan taktik mereka kepada pemain-pemain berkepantasan tinggi. Bolasie, Sako, Puncheon dan Zaha membentuk rangkaian serangan Palace. Permainan awal lebih memihak kepada pasukan Palace. Kelemahan formasi 4-4-2 kembali menghantui City melihat mereka tewas dalam pertarungan bahagian tengah. Di minit ke-11 Souare mendapat peluang menjaringkan gol tetapi rembatan separa voli beliau tersasar keluar melegakan hati Joe Hart.
Perlawananan mula bertukar panas apabila Aguero dibentes keras oleh Scott Dann. Permainan dihentikan sementara Aguero mendapatkan rawatan namun permainan beliau jelas terjejas selepas itu dan meminta ditukarkan. Kedua-dua pasukan mula mempamerkan permainan fizikal dan memuncak apabila Toure menerjah kasar James McArthur. Pardew ternyata berang dengan tindakan Toure itu meluahkan perasaan sehingga menceroboh kawasan teknikal Pellegrini. Perang mulut tercetus di antara dua pengurus ini mengingatkan kenangan kepada insiden semasa Pardew bersama Newcastle dulu. Mujurlah suasana disejukkan oleh pengadil keempat di luar padang.
Aguero keluar memberi laluan kepada Kevin De Bruyne untuk membuat penampilan debut beliau. Formasi City dirombak kembali menjadi 4-2-3-1. Permainan City menjadi lebih stabil dan mulai seimbang walaupun Palace lebih banyak mengancam melalui Bolasie dan Sako.
Di separuh masa kedua, sedikit perubahan dilakukan oleh Pellegrini. Nasri yang kurang efektif di bahagian sayap dibawa ke tengah dan De Bruyne pula bermain di sayap kiri. Impak segera hampir menjadi apabila dari satu gerak serang kilas De Bruyne meloloskan Jesus Navas di bahagian Palace yang kosong. Kepantasan Navas bukan sahaja berjaya menewaskan pertahanan Palace yang mengejar beliau malah turut menewaskan McCarthy di gawang lawan. Sayang sekali dengan pintu gol terbentang luas percubaan Navas menggunakan kaki kiri tersasar ke tepi tiang.
Di separuh kedua De Bruyne berjaya menyerlah di bahagian sayap memulakan banyak gerakan menyerang City dari bahagian kiri. City lebih banyak membuat percubaan namun tidak banyak yang betul-betul menduga McCarthy. Sebaliknya Palace yang jarang menyerang mendapat peluang yang lebih cerah untuk menjaringkan gol. Di minit ke-70 Joe Hart terpaksa menyelamatkan bola tandukan Jason Puncheon dan tidak lama kemudian lega melihat tampanan Dwight Gayle tersasar keluar.
Pardew dilihat sudah cukup berpuas hati dengan 1 mata. Jedinak dan Chung-yong dibawa masuk menggantikan pemain yang lebih menyerang, Bolasie dan Puncheon. City pula tidak bersedia pulang seri tabah meneruskan gerakan mencari jalan masuk menembusi benteng Palace. Sepanjang permainan, tugas Bony adalah untuk memegang bola dan meletakkan bola kepada rakan sepasukan lain. Peranan ini digalas oleh Bony dengan jayanya namun dengan masa yang semakin suntuk, Pellegrini mengambil peluang menduga nasib. Di minit ke-89 penyerang muda berusia 18 tahun Kelechi Iheanacho dipanggil masuk menggantikan Wilfred Bony. Iheanacho diberi arahan mudah oleh Pellegrini, "Masuk dan jaringkan gol". Tanpa banyak soal itulah yang dilakukan Iheanacho. Dari gerakan di sebelah kanan, Nasri menemui ruang membuat percubaan. Tendangan deras Nasri ditampan oleh McCarthy namun bola yang termuntah segera ditunjal Iheanacho lalu menerjah masuk ke dalam gol yang terbuka luas.
Gol sulung Iheanacho dari penampilan senior kedua beliau itu akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan. Iheanacho kemudian terlepas peluang menggandakan jaringan selepas diumpan Toure manakala Toure juga terlepas dengan tandukan liar di hadapan gol. Di wisel penamat, gol tunggal Iheanacho sudah cukup memberikan kemenangan 0-1 untuk City menjarakkan diri dari pencabar yang lain dan duduk selesa di puncak BPL.
Fakta menarik perlawanan:
1. Rekod menang City diteruskan menjadi 11 kemenangan berturut-turut.
2. City mencatatkan gawang bersih dalam 6 perlawanan BPL terakhir mereka, satu rekod baru kelab.
3. Iheanacho menjadi penjaring gol BPL ke-3 termuda City selepas Micah Richards dan Daniel Sturridge.
4. Iheanacho adalah pemain City yang ke-125 menjaringkan gol BPL.
5. City menjadi kelab BPL ke-4 mencatatkan gawang bersih dalam 5 perlawanan pertama musim.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber: Siaran Langsung, Manchester Evening News, ManCityPhotos, Twitter
2. City mencatatkan gawang bersih dalam 6 perlawanan BPL terakhir mereka, satu rekod baru kelab.
3. Iheanacho menjadi penjaring gol BPL ke-3 termuda City selepas Micah Richards dan Daniel Sturridge.
4. Iheanacho adalah pemain City yang ke-125 menjaringkan gol BPL.
5. City menjadi kelab BPL ke-4 mencatatkan gawang bersih dalam 5 perlawanan pertama musim.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber: Siaran Langsung, Manchester Evening News, ManCityPhotos, Twitter