Pertembungan 2 'helang' bakal berlangsung hari ini. Selepas rehat antarabangsa, helang Manchester akan terbang ke London bertemu helang di 'istana kristal' mereka. Pertemuan di antara 2 pasukan ini tidaklah begitu signifikan dari sudut sejarah tetapi hari ini ia adalah pertemuan di antara 2 pasukan teratas BPL. Crystal Palace kini memungut 9 mata, hanya 3 mata yang membezakan mereka dengan pendahulu liga; Manchester City.
Palace semestinya mahu meneruskan momentum bagus mereka manakala City juga begitu di samping memanjangkan rekod menang berturut-turut, rekod tanpa kalah dan rekod tanpa bolos mereka. Kali terakhir 2 pasukan ini bertemu di Selhurst Park, keputusan memihak kepada Palace dengan jaringan 2-1.
Buat pertama kali musim ini City akan membuat rombakan kepada kesebelasan utama mereka selepas disahkan David Silva tidak akan diturunkan kerana kecederaan. Ini bermakna kita bakal melihat pemain termahal City, Kevin De Bruyne membuat debut beliau bersama City. Posisi beliau masih menjadi teka-teki namun berkemungkinan besar De Bruyne akan mengambil peranan Silva di belakang Aguero. Sagna yang tercedera semasa mewakili Perancis dikhabarkan cukup cergas untuk diturunkan mematikan teka-teki siapa yang akan bermain di posisi bek kanan. Akan tetapi masih lagi terdapat satu lagi teka-teki dalam seleksi City. Adakah kita akhirnya akan dapat melihat penampilan pertama Nicolas Otamendi? Selepas 2 kali tidak dapat dipilih kerana isu permit kerja, mungkinkah Otamendi akan bergandingan bersama Kompany di bahagian pertahanan tengah?
City akan berdepan pasukan Palace yang kuat. Kehilangan terbesar Palace ialah Joel Ward yang akan digantikan dengan Martin Kelly di bek kanan. Joel Ward sudah menjaringkan 2 gol musim ini. Ancaman terbesar Palace adalah di bahagian sayap mereka. Walaupun tiada kelibat Wilfred Zaha, gandingan Bakary Sako dan Yannick Bolasie pastinya akan menguji kekentalan barisan pertahanan City. Nama Connor Wickham yang sering membawa duka kepada City semasa bersama Sunderland juga tidak boleh dipandang enteng. Penulis menjangkakan permainan terbuka dan pantas bakal dihidangkan kedua-dua pasukan hari ini. Ramalan Blog Bulan Biru: Palace 1 - City 2.
Fakta menarik pra-perlawanan:
1. City sudah menang dalam 4 perlawanan di tempat lawan terakhir mereka. Kali terakhir mereka menang 5 perlawanan berturut-turut di tempat lawan adalah pada tahun 1912.
2. Yaya Toure berjaya menjaringkan gol ke atas Crystal Palace dalam 3 perlawanan terakhir bertemu mereka.
3. Crystal Palace menang dalam 5 daripada 6 perlawanan BPL terakhir mereka.
4. Andai City menang, mereka akan menyertai senarai elit 5 pasukan yang menang berturut-turut 11 perlawanan atau lebih di liga atasan Inggeris.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru