Isnin, 14 September 2015

Kenali City - 5 Perkara Tentang Kelechi Iheanacho


Berikut adalah 5 fakta menarik berkenaan wira remaja City, Kelechi Iheanacho:

1. Kelechi Iheanacho menempa nama di Piala Dunia Remaja FIFA U17 2013 apabila menjaringkan 6 gol untuk membantu Nigeria menjadi juara dan muncul sebagai pemenang Bola Emas pertandingan tersebut.


2. Manchester City membayar £300,000 kepada Akademi Taye untuk membeli Iheanacho pada musim 2013/14 tetapi terpaksa menunggu kehadiran pemain itu atas sebab isu permit kerja. Selepas berusia 18 tahun barulah Iheanacho berpindah ke Manchester dan membintangi skuad EDS pada musim 2014/15.


3. Idola Iheanacho ialah Nwanko Kanu. Bukan setakat memiliki ciri fizikal yang mirip, kedua-dua Kanu dan Iheanacho adalah wira Nigeria dalam pertandingan Piala Dunia Remaja masing-masing. 20 tahun sebelum Iheanacho, Kanu membantu Nigeria menjuarai Piala Dunia Remaja U17 1993 dengan menjaringkan 5 gol. Kanu seterusnya menyinar di persada bolasepak Eropah bersama-sama Ajax, Inter dan Arsenal.


4. Iheanacho mempunyai gaya khas meraikan jaringan gol. Beliau akan berlari ke bendera penjuru dan kemudian mengangkat tangan menunjuk ke arah langit berkali-kali. Gaya itu diilhamkan daripada ahli gusti WWE kegemaran Iheanacho, Daniel Bryan.


5. Nama penuh Iheanacho ialah Kelechi Promise Iheanacho. Seperti nama tengah beliau iaitu 'Promise', Iheanacho menjanjikan potensi besar untuk menjadi pemain bintang City di masa depan. Harapan para peminat adalah agar 'promise' itu berjaya ditepati.


Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber: The Independent, The Bleacher Report, Transfermarkt
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.