Sudahlah ditampar wanita tua, kepala City ditukul pula. Begitulah nasib malang pasukan Manchester City yang terpaksa menanggung kekalahan di Stadium buat kali kedua berturut-turut. Sebarang harapan untuk bangkit daripada kekalahan kepada Juventus berkecai di wisel penamat dengan jaringan kekalahan yang sama.
City menguasai perlawanan tetapi mensia-siakan peluang demi peluang untuk menjaringkan gol. Sebaliknya West Ham lebih klinikal di depan gol City. Moses menewaskan Hart seawal minit ke-6 dengan rembatan leret luar kotak penalti dan kemudian sekali lagi Hart tertewas kali ini kepada Sakho hasil daripada satu sepakan penjuru. Kedua-dua gol ini boleh dielakkan jika barisan pertahanan tidak alpa dan lebih pantas menutup ruang pihak lawan. Hari itu prestasi Kolarov dan Mangala boleh dipertikaikan. Buktinya Mangala dikeluarkan di separuh masa kedua untuk digantikan dengan Martin Demichelis.
Pola haba City (kiri) dan West Ham (kanan) |
City merapatkan jurang di akhir separuh pertama dengan gol sulung City Kevin De Bruyne. City cuba bangkit di separuh kedua dengan bertubi-tubi menembak gawang West Ham tapi sayang tiada yang mengenai sasaran. Jika Buffon kebal di gawang Juventus kali ini Adrian pula menjadi wira West Ham berkali-kali menjadi batu penghalang City. Syabas kepada West Ham yang berjaya mematahkan permainan cantik City melalui permainan pertahanan yang kental. City boleh berbangga dengan persembahan keseluruhan mereka walaupun beberapa pemain perlu segera menaikkan tahap permainan mereka terutamanya Aguero, Navas, Kolarov dan Sterling.
Fakta menarik perlawanan:
1. Manchester City membuat 27 percubaan (8 tepat) berbanding West Ham yang hanya membuat 6 percubaan (3 tepat) sepanjang perlawanan.
2. Rekod baru kelab kemenangan BPL berturutan City terhenti pada 11 perlawanan. Satu lagi rekod baru kelab, gawang bersih BPL berturutan terhenti pada 6 perlawanan.
3. Gol Victor Moses adalah yang pertama diboloskan City dalam 572 minit permainan.
4. West Ham menjadi kelab keempat menewaskan Arsenal, Livepool dan City di laman mereka dalam satu musim selepas Everton (1995/96), Manchester United (2004/05) dan Chelsea (2005/06).
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru