Setelah sekian lama menjadikan White Hart Lane sebagai lubuk, hari ini City jatuh tersungkur di bumi London. Walaupun menyarung jersi Blue Moon untuk perlawanan ini tetapi hari ini bulan biru gerhana gamaknya sehingga para pemain City kehilangan arah tuju di separuh masa kedua. City terlebih dahulu di hadapan melalui De Bruyne sebelum Spurs bangkit membelasah dengan 4 gol untuk menang bergaya 4-1.
City turun dengan strategi yang agak berbeza dengan sebelumnya. Toure bermain lebih ke atas mengisi ruang di belakang Aguero. Tiada Navas di sayap kanan sebaliknya De Bruyne bermain di bahagian sayap bersama Sterling. Fernando dan Fernandinho bergandingan mengawal di bahagian tengah. Mungkin kerana padang White Hart Lane yang sempit membuat Pellegrini memilih pendekatan menyerang melalui tengah.
Seperti kebiasaan pertembungan dua pasukan ini berlangsung dengan permainan yang terbuka. Permainan bertukar tangan dengan kerap tapi City lebih menyerlah dengan peluang yang diperoleh De Bruyne, Toure dan Aguero. Di minit ke-25, pesta gol dimulakan oleh City hasil satu serangan kilas daripada sepakan penjuru Spurs. Fernando mengeluarkan bola dan memberi kepada Toure yang membawa ke hadapan untuk mengumpan bola kepada De Bruyne yang tenang menjaringkan gol ketiga beliau dalam 3 perlawanan.
Spurs cuba untuk bangkit segera tapi rembatan Son mudah didakap Caballero yang turun menggantikan Hart yang dikatakan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. City memperoleh peluang menggandakan gol tetapi rembatan Sterling ditepis cantik oleh Lloris. Otamendi kemudian membuat kesilapan besar melepaskan Kane ke kawasan City tapi mujurlah tendangan beliau ke laut. Buat seketika gawang City dikawal mantap oleh Caballero dan gandingan dua 'Fernan' hebat mengawal bahagian tengah City.
Namun elemen tuah dan sedikit kelekaan oleh pemain City memberi gol penyamaan kepada Spurs di minit ke-45. Kyle Walker jelas berada di posisi ofsaid ketika memainkan bola ke kawasan penalti City. Bola diselamatkan oleh Caballero dan jatuh kepada De Bruyne. De Bruyne cuba menghantar kepada Fernandinho tetapi hantaran beliau terlalu kuat dan Eric Dier mencuba dari jauh dan menewaskan Caballero.
Penguasaan City di separuh masa pertama terneutral dan mereka terpaksa kembali ke petak pertama di separuh masa kedua. City bermula dengan lebih baik di separuh masa kedua tetapi sekali pihak lawan yang klinikal telah menghukum mereka.
Di minit ke-50, Spurs mendapat sepakan bebas di sayap kanan. Erik Lamela melambung bola ke kawasan penalti, Caballero mara tetapi tidak mencabar bola dan hasilnya Alderweireld yang melonjak tinggi mudah menanduk bola ke dalam gawang yang kosong.
City mula mengubah pendekatan mereka dengan membawa masuk Navas menggantikan Toure. Menyerang dari tengah nampaknya tidak membuahkan hasil. City cuba mengancam dari sayap kanan melalui Navas dan Sagna tetapi sayap kiri ternyata menjadi punca kejatuhan mereka. Sterling yang terlepas posesi membolehkan Spurs membuat serangan kilas dan memperoleh satu lagi sepakan bebas pada minit ke-61. Eriksen cuba menewaskan Caballero dengan satu percubaan yang cantik tetapi bola terkena bucu palang namun malang buat City bola terpantul kepada Kane yang membuat sudahan untuk gol ketiga Spurs dan sekaligus menamatkan kemarau gol beliau.
City kini sudah hilang arah dan tujuan. Sebarang gerakan mereka berakhir buntu. Spurs pula kental dengan pertahanan penuh disiplin. Tapi mimpi ngeri City belum berakhir. Sayap kiri City sekali lagi menjadi lubuk Spurs apabila di minit ke-79 N'Jie membuat pusingan cantik meloloskan diri daripada pemain City dan membuat hantaran kepada Lamela di dalam petak penalti City. Lamela mengawal bola untuk menewaskan Caballero dan Demichelis yang hanya mampu pasrah melihat Lamela menjaringkan gol keempat Spurs.
Fakta menarik perlawanan:
1. Rekod menang berturutan di tempat lawan yang dikejar City berakhir di White Hart Lane. Turutan menang itu sebenarnya juga bermula di White Hart Lane.
2. Barisan XI Spurs adalah yang termuda dalam musim BPL 2015/16 ini (purata: 24 tahun 40 hari) menewaskan barisan XI termahal BPL.
3. Gol Lamela hari ini hanyalah gol ketiga beliau dalam 48 penampilan untuk Spurs.
4. Nisbah gol:percubaan Kevin De Bruyne setakat ini ialah 3 gol daripada 4 percubaan tepat.
5. Tottenham menjaringkan 4 gol menentang City buat pertama kali dalam pertemuan liga semenjak 1962.
5. Tottenham menjaringkan 4 gol menentang City buat pertama kali dalam pertemuan liga semenjak 1962.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber: Astro OTG