Desas-desus yang mengiringi 2 pemain bek Manchester City yang dikatakan akan meninggalkan kelab beralih ke muka baru. Barangkali mereka berdua tidak akan ke mana-mana.
Pablo Zabaleta sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke AS Roma dan Inter Milan. Pengurusan Inter menamatkan minat mereka apabila mereka memveto tawaran yang mahu dibuat oleh Roberto Mancini. Kemudian Zabaleta dikatakan sudah memeterai perjanjian peribadi bersama Roma namun sehingga kini belum ada berita rasmi daripada kedua-dua pihak. Sekarang Pep Guardiola dikatakan mahu melihat dahulu perkembangan Zabaleta sama ada beliau mampu bangkit daripada kecederaan yang menghantui beliau musim lepas. Tambahan pula Bacary Sagna baru sahaja menamatkan kempen Euro 2016 dan memerlukan sedikit rehat. Jadi agak bahaya untuk City melepaskan Zabaleta di masa sekarang kerana tiada lagi pemain bek kanan berpengalaman di dalam skuad. Pelapis muda, Pablo Maffeo belum lagi terbukti kemampuan untuk menggalas tanggungjawab bermain di peringkat tertinggi.
Aleksandar Kolarov pula diberitakan bakal berpindah ke kelab Turki, Besiktas dan dikatakan perpindahan £3 juta sudah pun dipersetujui. Namun ini juga belum disahkan oleh kedua-dua kelab. Presiden Besiktas, Fikret Orman mengatakan yang Kolarov hanyalah salah seorang dalam senarai bek kiri yang sedang dipantau Besiktas. Di pihak City pula dikatakan mereka mahukan £8 juta untuk melepaskan Kolarov dan bukannya £3 juta sahaja. Setakat ini satu-satunya pemain bek kiri yang dikaitkan dengan City ialah Ricardo Rodriguez dari Wolfsburg. Ini mungkin disebabkan pelapis muda, Angelino dilihat sudah bersedia untuk ke pentas lebih tinggi selepas prestasi memuaskan ketika dipinjamkan ke New York City. Apatah lagi dikatakan Angelino memiliki kaki kiri yang lebih hebat daripada Kolarov.
Yang pastinya Guardiola masih menilai kemampuan skuad yang dimiliki beliau kini dan tidak akan membuat keputusan melulu. Kita tunggu dan lihat perkembangannya nanti.
- Bulan Biru
- Bulan Biru