City merapatkan jurang mata di antara mereka dan Chelsea kepada 3 mata. Chelsea terlebih dahulu melepaskan gelaran pasukan tidak terkalah musim ini apabila Newcastle menundukkan mereka 2-1 di St. James' Park. Peluang yang terhidang tidak dilepaskan Manchester City dengan mempamerkan persembahan taktikal berdisiplin untuk menang 1-0.
Manchester City memulakan permainan dengan misi mencari 3 mata mengejar Chelsea dan tanpa kelibat Jovetic bermakna Aguero turun sebagai penyerang solo. Namun seperti jatuh ditimpa tangga Aguero turut menjadi mangsa krisis kecederaan City. Dalam kerakusan permainan pembukaan yang pantas dan agresif mencari gol awal, Aguero dilihat mengalami kecederaan lutut dalam perebutan bola dengan beberapa pemain Everton. Menurut laporan terkini kecederaan itu melibatkan ligamen lutut dan ini mungkin bermakna Aguero terpaksa direhatkan beberapa bulan atau mungkin sehingga ke penghujung musim. Nampaknya impian untuk memecah rekod gol dalam semusim tidak akan kesampaian.
Tanpa Aguero sebagai titik fokus, pergerakan City pada awalnya agak kucar-kacir. Mereka segera menyesuaikan diri dan membina gerakan mengancam gawang gol melalui gandingan Nasri, Milner dan Toure. Tekanan berterusan daripada City akhirnya berhasil dengan hadiah penalti apabila Milner dilihat dikasari di dalam kotak penalti oleh Jagielka. Toure menyempurnakan tanggungjawab mengambil sepakan penalti dan City mendahului 1-0.
Tidak banyak percubaan bahaya yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan di dalam perlawanan ini. Pozo yang masuk menggantikan Aguero bijak dalam mencari posisi dan hampir mendapatkan gol di separuh masa kedua hanya untuk melihat percubaannya diselamatkan kaki Howard. Romelu Lukaku pula melakukan volley deras yang digagalkan tampanan refleks Hart. Everton tampak lebih menyerang di separuh masa kedua selepas kemasukan Ross Barkley di bahagian tengah. Permainan dilihat seimbang di antara kedua-dua pasukan yang menunjukkan disiplin taktikal dalam mematahkan gerakan masing-masing. Kedudukan kekal hingga ke wisel penamat dan City kini 3 mata lebih rapat ke persada liga.
Walaubagaimanapun kecederaan Aguero menjadikan kemanisan ini samalah seperti manisnya hempedu. Manisnya tetap sukar untuk ditelan.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru