Ahad, 21 Disember 2014

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Manchester City (3) - Crystal Palace (0)

Belakang parang diasah lagikan tajam. Jangan disangka pedang sakabato tidak memancung. Begitulah juga pasukan Machester City jangan disangka tumpul turun tanpa penyerang. 3 gol di separuh masa kedua menjadi bukti kekuatan skuad yang dimiliki City untuk mengetepikan cabaran Crystal Palace. Kini City mengumpul mata sama dengan Chelsea cuma mereka sudah bermain satu perlawanan lebih (Chelsea bermain pagi Selasa).

Pedang mata terbalik sakabato tetap merbahaya di tangan samurai yang hebat
Seperti yang hebat diperkatakan sepanjang minggu lalu, City menurunkan skuad tanpa seorang penyerang asli. Sebagai ganti Milner ditempatkan di posisi No. 9. Beliau ditugaskan membawa peranan '9 Palsu' tetapi pergerakan beliau terbatas dek taktik pertahanan 2 lapis Palace yang berjaya menutup ruang di bahagian tengah dari dikuasai pemain City.

Pergerakan di kawasan tengah yang terbatas memaksa Milner bergerak ke bahagian sayap
Sebaliknya Palace yang lebih awal mengancam gawang City dengan gerakan pantas dan serangan kilas mereka. Hart beberapa kali dipanggil menyelamatkan keadaan dan City juga bernasib baik Palace terlepas satu dua peluang di awal perlawanan.






Melihat kesukaran menembusi benteng lawan yang padat di tengah padang, City mengubah fokus ke bahagian sayap. Zabaleta, Kolarov, Navas dan Milner melebarkan permainan membuat hantaran lintang merbahaya ke dalam kotak penalti namun tiada yang berhasil. Formasi Palace yang semakin meregang juga membuka ruang kepada City. Peluang terbaik City jatuh kepada Zabaleta yang melihat percubaannya hanya beberapa inci sipi ke tepi tiang.



City hanya menunggu masa untuk menembusi tembok istana Palace. Akhirnya di minit ke-49 Fernandinho berjaya mencari larian Zabaleta yang kemudian menghantar bola kepada Silva. Dengan sedikit tuah percubaan Silva terkena pemain Palace lalu melambung dan bergolek masuk menewaskan Speroni.





Silva menjadi hero sekali lagi di minit ke-61 apabila hantaran Kolarov dari sebelah kiri berjaya disudahkan beliau untuk gol kedua City dan peribadi. Cara terbaik untuk meraikan perlawanan ke-200 bersama City.




Crystal Palace berjaya merapatkan kedudukan apabila tandukan McArthur menewaskan Hart hanya untuk melihat ia dibatalkan kerana ofsaid. Neil Warnock ternyata berang dengan keputusan penjaga garisan kerana dari rakaman ulangan gol tersebut sepatutnya sah.



City menyudahkan perlawanan di minit ke-81 melalui serangan kilas. Jesus Navas menghantar bola kepada Milner yang kemudiannya melorongkan bola kepada Toure yang meledakkan rembatan deras melepasi jangkauan Speroni.




City telah mempamerkan permainan yang unggul di kedua-dua bahagian bertahan dan menyerang. Pertahanan kental dan formasi menyerang yang lancar berjaya menembusi dinding Palace untuk melakar kemenangan ke-8 berturut-turut dalam semua pertandingan dan juga cleansheet ke-4 berturut-turut. Meskipun menghunuskan pedang Sakabato, City tetap hebat memancung lawan.

Fakta menarik perlawanan:
1. Martin Demichelis menyambut hari jadi. beliau yang ke-34 semalam.
2. 8 kemenangan berturut-turut adalah rekod terbaik Pellegrini bersama City. Rekod musim lepas adalah 7 perlawanan.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.