Sabtu, 13 Disember 2014

Laporan Kaki Bangku: UCL 2014/15 AS Roma (0) - Manchester City (2)

Venimus, vidimus, vicimus. Itulah proklamasi dari Manchester City selepas menundukkan AS Roma 0-2 di laman mereka untuk layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah sekaligus menamatkan satu lagi badi mereka musim ini. Sebelum ini City tidak pernah memenangi sebarang perlawanan di bumi Itali (D2, L2). Gol-gol City dijaringkan oleh Nasri dan Zabaleta.


Persaingan mendebarkan kumpulan E ini menyaksikan 3 pasukan berkongsi mata dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Masing-masing memerlukan kemenangan untuk menguatkan peluang mara ke peringkat seterusnya.

Sepanjang babak pertama kedua-dua pasukan berbalas serangan. Roma lebih mengancam di pembukaan minit menumpukan serangan dari bahagian kiri mereka. Tekanan awal Roma berjaya diserap City yang kemudian mula mengukuhkan tapak dalam penguasaan permainan. Permainan mula seimbang mara ke penghujung separuh masa pertama.


Dengan berita CSKA yang ketinggalan kepada Bayern di Munich bermakna Roma hanya mengekalkan kedudukan untuk mara manakala City perlu menang atau seri dengan sekurang-kurangnya 1 gol. City lebih banyak menguasai permainan di separuh masa kedua. Gandingan Fernando dan Fernandinho di bahagian tengah sangat efektif mematikan gerakan Roma.

Gol pertama City dijaringkan Nasri pada minit ke-60. Clichy membuat hantaran kepada Nasri di hadapan. Dengan Nasri memegang bola, pergerakan Milner dan Dzeko berjaya menarik pertahanan Roma ke bawah lalu membuka ruang untuk Nasri  melepaskan rembatan dan bola deras menuju laju ke tiang dekat de Sanctis sebelum masuk ke dalam gol.






Roma kini memerlukan kemenangan dan cuba bangkit mengancam gol City. Tekanan hebat Roma menghasilkan beberapa percubaan bahaya namun berjaya ditangkis Joe Hart dan barisan pertahanan City yang kental. Harapan Roma lebur di minit ke-86 apabila Zabaleta menggandakan gol City. Jovetic yang mengawal bola di sayap kiri City berjaya melepaskan diri untuk menghantar bola kepada Nasri di dalam kotak penalti yang membuat umpanan kepada Zabaleta yang membuat larian dari bawah untuk menjaringkan gol sulung beliau dalam Liga Juara-Juara Eropah.



Kedudukan 0-2 kekal di wisel penamat dan City mara ke pusingan kedua selepas memulakan kempen kumpulan E tanpa sebarang kemenangan dalam 4 perlawanan pertama mereka. City membuktikan ketiadaan Aguero dan Toure tidak membawa sebarang masalah kepada mereka untuk beroperasi di peringkat tertinggi.


Superbia in proelio - Blog Bulan Biru


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.