*Rumah penulis dah kena banjir tapi perlawanan City tetap tak tinggal. Sempat juga mengikuti perlawanan melalui Twitter dan siaran TV sekali-sekala (TV kongsi lah katakan).
Di hari Boxing Day, City berjaya menang dengan selesa di laman WBA dan mengaut kemenangan ke-9 berturut-turut menyamai rekod tertinggi kelab sebelum ini. Gol-gol City dijaringkan Fernando, Toure dan Silva manakala gol saguhati WBA dijaringkan Ideye.
Fernando berjaya mendapatkan gol sulung beliau bersama City apabila di minit ke-8 penjaga gol WBA, Ben Foster melakukan kesilapan tidak menangkap kemas bola hantaran silang Navas dan Fernando mengambil kesempatan meletakkan bola ke dalam jaring dengan melakukan sepakan gunting.
Lima minit kemudian, Toure pula menggandakan gol City apabila Silva dikasari dalam kotak penalti dan sepakan penalti Toure mudah menewaskan Foster.
Tanpa seorang penyerang sejati City terus merobek pertahanan City dan di minit ke-34 giliran Silva pula menempah nama dalam senarai penjaring. Fernando merampas bola di tengah padang dan beliau memulakan serangan kilas yang disudahkan Silva untuk gol ketiga City dengan tendangan cantik kaki kiri.
City mula bermain lebih tenang di separuh masa kedua kerana membawa kedudukan yang selesa ditambah pula dengan cuaca yang semakin buruk. Salji turun dengan lebat sekali dan situasi visual yang terhad membolehkan pengadil Mark Clattenberg untuk menghentikan perlawanan.
Namun perlawanan tetap diteruskan dan di minit ke-87 WBA mendapat gol saguhati hasil kesilapan Joe Hart. Hart yang mahu menumbuk keluar bola dari sepakan penjuru WBA hanya menumbuk angin dan bola memantul di kalangan pemain sebelum akhirnya tertampan Ideye untuk masuk ke dalam gol. Perlawanan berakhir dengan kedudukan 1-3 kepada pelawat.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
P/S: Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan dan berdoa untuk keselamatan mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia terutamanya di kawasan pantai timur. #PrayForMalaysia #PrayForPantaiTimur