Ahad, 19 Oktober 2014

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Manchester City (4) - Tottenham Hotspurs (1)


Spurs sekali lagi menjadi lubuk gol pasukan City. Kali ini papan skor memaparkan 4-1 pada wisel penamat. Permainan yang terbuka dan gerakan berbalas serangan kedua pasukan memberi kepuasan kepada mereka yang menonton. Akhirnya perlawanan ditentukan oleh beberapa penalti dan seorang insan bernama Sergio Aguero.

Kredit: thelgx.devianart.com


Pellegrini membuat perubahan taktik dan seleksi pemain yang besar bagi perlawanan ini. 6 pemain ditukarkan daripada seleksi menentang Aston Villa. Sagna, Demichelis, Clichy, Fernando, Lampard dan Navas bermula untuk City sebagai ganti Zabaleta, Mangala, Kolarov, Fernandinho, Toure dan Dzeko. Formasi 4-4-2 yang merupakan pilihan default ditinggalkan untuk formasi 4-5-1. Ini mungkin disebabkan Spurs juga bermain dengan formasi 4-5-1 dan lagipun jika dikaji sumber gol dan ancaman pasukan Spurs datangnya daripada pemain-pemain tengah mereka. Maka oleh itu Pellegrini memilih menukar formasi untuk mematikan ancaman Spurs.

Spurs bermula garang dalam 10 minit pertama. Ryan Mason memaksa Hart menyelamat gawang City dan Eriksen pula merembat melewati palang. Di dalam aksi serang-menyerang City berjaya mencatatkan gol pembukaan di minit ke-13 menerusi Aguero. Sagna merampas bola dari kaki Lamela dan selepas mendapat umpanan Lampard, Aguero entah bagaimana berjaya mencari ruang meledakkan rembatan ke bucu bawah sebelah kanan gol Spurs.



Tetapi gol itu tidak berpanjangan. Selang 2 minit Spurs berjaya merampas bola daripada Fernando dan Soldado melorong kepada Eriksen untuk menjadikan kedudukan 1-1.



Walaupun tersentak dengan gol penyamaan Spurs, City tampak sudah selesa mengawal permainan. City kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti di minit ke-20 selepas Lampard dikasari Lamela dan Aguero tenang menyepak masuk untuk gol kedua City dan peribadi. Gol ini juga menjadikan Aguero penjaring gol BPL terbanyak Manchester City memotong rekod yang dulu dipegang Carlos Tevez.



Pada minit ke-26 Lampard terpaksa dibawa keluar kerana tercedera dan diganti oleh Fernandinho. Beliau diberikan tepukan gemuruh semasa diusung keluar.


Sementara itu City meneruskan penguasaan tetapi melepaskan peluang melebarkan jurang gol terutama sekali apabila City mendapat sepakan penalti kedua permainan selepas Silva dijatuhkan Kaboul. Aguero menendang ke tengah gol dan Lloris berjaya menghalang dengan kaki beliau. Bola muntah cuba dimasukkan Aguero dengan aksi akrobatik tetapi sayang bola melayang melepasi palang.




Lloris berdepan dengan cubaan demi cubaan daripada Ageuro, Milner dan Navas namun beliau berdiri teguh menepis setiap satu. Separuh masa tamat dengan jaringan 2-1.



Aguero terus kempunan untuk mencatatkan hatrik di separuh masa kedua dengan terlepas 3 peluang menjaringkan gol. Titik penting perlawanan berlaku di minit ke-62 bila Spurs dihadiahkan sepakan penalti selepas Soldado dijatuhkan Demichelis. Namun peluang keemasan menyamakan kedudukan itu disia-siakan Soldado yang menyepak lemah dan Hart mudah membaca bola dan menampan keluar.



Soldado sekali menduga Hart beberapa minit selepas itu tetapi diselamatkan Hart dengan kaki. Nasib malang terus menghantui Soldado yang terus tumpul musim ini dan semestinya beliau menyesal apabila City sekali lagi mendapat sepakan penalti selepas Aguero ditarik dalam kotak penalti oleh Federico Fazio. Fazio ditunjukkan kad merah dan Aguero tenang menjaringkan hatrik beliau.



Menentang 10 orang pemain Pellegrini menurunkan seorang lagi penyerang; Silva diganti dengan Jovetic. Kemenangan yang hampir pasti bertukar menjadi pasti apabila Aguero membuat jaringan cantik dengan kaki kiri selepas mendapat umpanan dari sepakan bebas Fernandinho dan meletakkan City 4-1 di hadapan. Taraf kelas dunia jelas terpampang pada Aguero apabila menjaringkan gol tersebut bak kata pengulas, "Seorang pemain nornal tidak akan berjaya menjaringkan gol itu".



Kenduri gol City berhenti hanya setakat di angka 4 dengan percubaan Milner terkena tiang di minit akhir perlawanan. Perlawanan yang terbuka dan menyerang menyaksikan City dan Spurs masing-masing melakukan 20 dan 19 percubaan ke arah gol. Apa yang membezakan mereka adalah satu pasukan memiliki Sergio Aguero dan satu lagi hanya memiliki Roberto Soldado.


Selain Aguero pujian turut wajar diberikan kepada Hart, Milner dan Navas yang mempamerkan aksi memberansangkan. Hart banyak kali menyelamatkan gawang City terutamanya 2 tampanan penting dari percubaan Mason dan sepakan penalti Soldado. Milner dan Navas pula merobek Spurs dari bahagian sayap dan menghidupkan gerakan serangan City. Sebagai kesimpulannya Tottenham Hotspurs terus lagi menjadi lubuk City.


Fakta menarik perlawanan:
1. Aguero sudah merampas takhta penjaring gol terbanyak BPL Manchester City dengan 61 gol.
2. Pasukan Tottenham adalah pasukan yang paling banyak dibolosi Aguero. Lubuk.
3. Lampard sudah mengumpul 102 umpanan gol. Kedua tertinggi dalam BPL di belakang Ryan Giggs.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Rujukan: The Guardian dan WhoScored.com

Kredit Foto: Getty Images/Action Images/AFP/Reuters
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.