*Berkemungkinan besar ini adalah entri terakhir berkenaan perlawanan City di dalam Blog Bulan Biru. Blog ini akan lebih tertumpu kepada entri fakta dan kupasan menarik berkenaan City selepas ini. Sila lawati kolum Bulan Biru di laman rasmi MCFC berbahasa Melayu untuk laporan perlawanan City di masa hadapan.
Selamat kembali kepada para pemain dan peminat BPL selepas aksi perlawanan antarabangsa. Manchester City akan menanti kunjungan daripada pasukan berbaju merah, Liverpool. Tumpuan perlawanan semestinya terletak kepada Raheem Sterling yang akan berdepan majikan lamanya buat pertama kali. Adakah Sterling memiliki daya tahan mental yang padu untuk berdepan cemuhan daripada penyokong The Reds yang akan hadir nanti?
Bukan Sterling sahaja yang akan bertemu majikan lama. Di Liverpool kini terdapat 3 pemain yang pernah menyarung jersi biru langit; Daniel Sturridge, Kolo Toure dan yang terbaru James Milner. Pendekatan penyokong City mungkin berbeza kerana semua pemain tersebut keluar dari City dengan aman. Kalau ada pun nilai sentimenal, mungkin penulis berikan kepada James Milner. Pemain utiliti ini sememangnya versatil dan boleh dimainkan dalam sebarang posisi semasa di City. Namun kelebihan ini jugalah antara faktor Milner tidak berjaya menembusi kesebelasan utama City. Beliau bagus dalam banyak peranan tetapi bukanlah yang terbaik bak kata pepatah Inggeris, "Jack of trades, master of none". Kerja keras di atas padang yang dipamerkan Milner tidak mampu memikat hati Pellegrini yang mementingkan penguasaan teknikal.
Berita baik buat penyokong City kerana Aguero sudah pulih sepenuhnya untuk turun menentang Liverpool. Cuma persoalannya adakah beliau sudah cukup 'panas' dan 'tajam' untuk perlawanan sebesar ini? Silva mungkin terpaksa direhatkan lagi dan Kompany juga tidak diturunkan atas sebab berjaga-jaga sambil Nasri terpaksa berehat lama. Wajarkah Pellegrini menurunkan bahagian tengah yang lebih defensif atau lebih ofensif? Memandangkan City bermain di laman sendiri, sepatutnya mereka menyerang Liverpool habis-habisan lagipun Klopp yang gemar memainkan taktik menekan atau gegenpressing akan mencipta ruang permainan yang sempit dan City perlu menurunkan pemain mobil dan pantas. Di samping itu ancaman Coutinho mesti diawasi City kerana percubaan luar kotak beliau boleh membawa bala.
Ramalan Blog Bulan Biru: City 2 - Liverpool 0
Ramalan Blog Bulan Biru: City 2 - Liverpool 0
Fakta menarik pra-perlawanan:
- Liverpool tidak pernah menang dalam 6 kunjungan BPL terakhir ke Etihad (D2, L4).
- Kali terakhir Liverpool menewaskan City di Etihad adalah pada tahun 2008.
- City menang 12 daripada 13 perlawanan BPL terakhir di Etihad.
- City menjaringkan sekurang-kurangnya 2 gol dalam 4 pertemuan terakhir menentang Liverpool di Etihad.
- Aguero berjaya menjaringkan gol dalam setiap pertembungan di laman sendiri menentang Liverpool.
- Coutinho menjaringkan 3 gol dalam 4 pertemuan menentang City.
- Hart dan Mignolet mendahului statistik gawang bersih tahun 2015 dengan masing-masing mengumpul 14 dan 13 gawang bersih.