Kalau tiada drama bukanlah Manchester City namanya. Perjalanan pelawanan yang aman damai bak drama soap opera tiba-tiba bertukar menjadi drama aksi penuh debaran pada 10 minit terakhir hasil kesilapan individu di kedua-dua pihak sebelum menyaksikan City menundukkan Norwich 2-1 di stadium Etihad.
Semua pihak meletakkan City sebagai pasukan pilihan untuk menang. Lebih-lebih lagi bulan Oktober melihat semua pasukan yang bertandang ke Etihad terpaksa pulang dengan tangan kosong. Di sebahagian besar permainan sememangnya itulah realitinya. Posesi bola dikuasai City dan pemain Norwich terpaksa berkali-kali menyerap siri serangan City yang datang bertalu-talu. Iheanacho meneruskan persembahan lincah beliau memporak-perandakan barisan pertahanan lawan dan berganding baik bersama Bony. Bony sudah banyak memperbaiki permainan beliau namun banyak juga peluang yang terhidang disia-siakan begitu sahaja.
Kekentalan Norwich terlerai juga selepas bertahan selama 67 minit apabila Otamendi melonjak tinggi untuk menyambut tendangan penjuru Kevin De Bruyne dan menanduk padu bola masuk menerjah gawang Norwich.
Semuanya kelihatan urusan seperti biasa buat City selepas gol Otamendi. City mengawal posesi dan tempo permainan sambil menanti masa untuk tamat. Gamaknya terlalu bosan, Hart membuat keputusan menghiburkan para penonton dengan mencipta drama. Bola hantaran lintang Brady yang langsung tidak mengancam dilepaskan dari genggaman dan seperti bulan jatuh ke riba Cameron Jerome menolak masuk bola untuk gol penyamaan.
Perlawanan mendapat nafas baru. Tempo berubah menjadi pantas dan City bertungkus-lumus menekan gawang Norwich. Mungkin mahu mengikut jejak langkah rakan seposisi, Ruddy pula membuat kesilapan keluar dari posisi dalam cubaan menumbuk bola. Cubaan Ruddy itu gagal dan bola sampai ke Sterling yang tanpa membuang masa menendang bola ke arah gawang yang tiada penjaga. Richard Martin cuba menjadi wira menghadang bola Sterling tetapi pengadil dapat mengesan penggunaan tangan oleh beliau lalu menghadiahkan penalti kepada City dan kad merah kepada Martin. Yaya Toure mara ke depan dan mudah menewaskan Ruddy untuk City mendahului 2-1.
Namun drama belum berakhir. Bersama 10 pemain Norwich sempat lagi mengancam gawang City tetapi mujurlah Hart bertindak cemerlang. Kemudian di penamat permainan, Raheem Sterling dijatuhkan oleh Brady dan City dihadiahkan sepakan penalti kedua. Dapat disaksikan sedikit perebutan hak mengambil sepakan berlaku di antara Sterling dan Bony sebelum Kolarov menetapkan keputusan bahawa beliau yang akan mengambil sepakan penalti. Malangnya sepakan Kolarov tersasar keluar dan wisel penamat pun ditiupkan.
Fakta menarik perlawanan:
- City menang dalam semua perlawanan di Etihad pada bulan Oktober.
- Kevin De Bruyne terlibat dalam 7 gol daripada 7 perlawanan BPL beliau (3 gol, 4 bantuan).
- City sudah menjaringkan 4 gol daripada sepakan penjuru musim ini. Musim lepas mereka mengharung kemarau panjang mencari gol dari sepakan penjuru.
- Yaya Toure tidak pernah gagal menjaringkan 9 sepakan penalti beliau dalam BPL.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber: Siaran langsung Astro