2 gol awal Sterling dan Fernandinho memudahkan City melakar jalan ke pusingan kedua UCL. Manchester City menjadi kelab Inggeris pertama berbuat demikian musim ini selepas menewaskan juara bertahan Liga Europa, Sevilla 1-3 di stadium Ramon Sanchez Pizjuan. Tiada gol saat akhir kali ini dengan kesemua 4 gol dijaringkan dalam 36 minit pertama permainan. Walaupun tanpa Aguero dan Silva, City mempamerkan penguasaan dengan persembahan mantap Sterling, Fernandinho dan Fernando.
City bermain dengan agresif seawal wisel ditiupkan. Jelas mereka mahukan 3 mata penuh untuk menjamin tempat untuk layak ke pusingan kedua. Gol pertama hadir pada minit ke-8. Fernandinho membuat hantaran tembus mencari larian Sterling yang kemudian menjaringkan gol pertama.
Berselang 4 minit kemudian, Fernandinho beralih peranan daripada pembantu kepada penjaring gol apabila menanduk masuk bola muntah rembatan Bony yang ditampan Sergio Rico.
City terus mengasak kubu lawan dan Navas hampir-hampir melukakan hati bekas pasukan beliau apabila rembatan beliau sudah menewaskan Rico tapi terkena tiang.
Sevilla tidak berdiam diri dan hampir merapatkan jurang apabila Llorente berpeluang menjaringkan gol selepas mendapat umpanan rakan tetapi percubaan melepasi palang. Di minit ke-25, tuan rumah berjaya menjaringkan gol bila Coke berjaya meloloskan diri ke kotak penalti dan membuat hantaran silang lob. Hart yang sudah tertewas meninggalkan gawang kosong dan bola itu mudah ditanduk masuk oleh Tremoulinas.
Sevilla hampir berjaya menyamakan kedudukan hasil satu tendangan sudut tetapi Hart bertindak cemerlang dengan satu tampanan refleks menidakkan tandukan Timothee Kolodziejczak. Tindakan itu ternyata berbaloi apabila pada minit ke-36, City kembali melebarkan jurang hasil jaringan Wilfried Bony menyudahkan hantaran silang Jesus Navas. Navas sebagai menghormati bekas kelab beliau itu bertindak tidak meraikan gol tersebut.
Itulah gol terakhir perlawanan. City tampak begitu selesa mengawal permainan di tempat lawan dan memastikan kemenangan. City layak sambil berbaki 2 perlawanan di peringkat kumpulan. Tumpuan City selepas ini adalah untuk menjadi juara kumpulan apabila bertandang ke Turin 25 November ini berdepan Juventus.
Pellegrini membuktikan fleksibiliti taktikal beliau dengan menurunkan formasi 4-1-4-1 berbanding formasi 4-2-3-1 yang menjadi kebiasaan. Fernando diberi tugas mengawal baris tengah padang dan beliau begitu cemerlang semalam. Ini membolehkan Fernandinho dan Toure bermain lebih bebas dan ofensif. Ternyata taktik itu berkesan dan Fernandinho berjaya mencatat satu bantuan dan satu jaringan gol. Polisi rotasi Pellegrini juga terpapar apabila De Bruyne direhatkan untuk perlawanan ini. Ianya agak mengejutkan kerana ramai menjangkakan nama De Bruyne sebagai antara nama pertama diletakkan dalam skuad utama. Dalam perlawanan menentang Norwich sebelum ini, Sterling direhatkan dan bermula di bangku simpanan. 2 perkara ini dilihat menarik kerana pada musim-musim sebelum ini Pellegrini sangat sukar mengubah formasi asas beliau (4-4-2) dan rotasi skuad utama jarang sekali dilakukan. Pendekatan ini akan membuat City sebagai pasukan yang sukar dijangka dan mungkin boleh menjadi kunci utama kepada kejayaan City musim ini.
Fakta menarik perlawanan:
- City menjadi kelab pertama menjaringkan 3 gol dan menewaskan Sevilla di tempat mereka dalam pertandingan benua.
- Gol Sterling merupakan gol UCL pertama beliau.
- Buat pertama kali dalam UCL, Sevilla memboloskan 2 gol di separuh masa pertama.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru